Kanak-kanak maut tergelincir dalam parit

Lokasi dimana mangsa dipercayai tergelincir.(Gambar kecil:Muhammad Danish Erika)
Lokasi dimana mangsa dipercayai tergelincir.(Gambar kecil:Muhammad Danish Erika)
A
A
A

PASIR MAS - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun meninggal dunia selepas tergelincir dalam parit dekat Kampung Pauh di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu mangsa, Muhammad Danish Erika Mohd Hairie, 9, anak bongsu daripada dua beradik itu dipercayai tergelincir ke dalam parit berkenaan ketika berjalan-jalan di kawasan tersebut bersama dua lagi rakannya.

Muhammad Danish Erika disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

Nenek mangsa, Robiah Yunus, 55, berkata, mereka sekeluarga menyedari kejadian itu selepas diberitahu oleh penduduk kampung.

"Setiba di lokasi kejadian, salah seorang pekerja kami terus terjun ke dalam parit untuk menyelamat cucu saya.

"Cucu saya ditemui berada dalam keadaan terlungkup di dasar parit itu. Pekerja kami terus menariknya dan sempat memberikan bantuan pernafasan sebelum dibawa ke HPM untuk rawatan lanjut," katanya.

Robiah (kanan) dan kakak kepada Muhammad Danish Erika menunjukkan gambar arwah.
Robiah (kanan) dan kakak kepada Muhammad Danish Erika menunjukkan gambar arwah.

Terdahulu Robiah dan keluarga menerima kunjungan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Robiah berkata, dia dan seluruh keluarga menerima kejadian itu dengan hati terbuka.

Sementara itu Hanifa menasihatkan golongan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak dengan menjauhi kawasan parit.

"Ini merupakan kes lemas kedua yang berlaku di DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Pasir.

"Kepada anak-anak, nasihat saya jauhilah kawasan bahaya kerana malang tidak berbau," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Zakuan Ismail telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat.

"Mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam dan kemudian telah dibawa ke HPM untuk rawatan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!