Srikandi sokong kepimpinan Tun M
SHAH ALAM - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memimpin hala tuju Malaysia untuk bergerak lebih jauh ke hadapan.
Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya berharap tiada lagi perbalahan dan perdebatan mengenai kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
"Negara kita dibina, dimajukan dan dipertahan berdasarkan Perlembagaan yang mesti kita hormati dan kita jaga supaya matlamat kesejahteraan masyarakat dapat dicapai tanpa pergaduhan yang boleh memecahbelahkan perpaduan yang sekian lama kita pupuk.
"Masih banyak lagi tugas kita yang belum selesai dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana mereka yang seharusnya menjadi keutamaan, malah lebih penting berbanding kepentingan dan agenda peribadi kita sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut menggesa, agar semua pemimpin menghentikan permainan politik kotor, sebaliknya fokus kepada pembangunan negara.
"Saluran politik haruslah kita gunakan untuk mencipta suatu platform yang jujur, telus dan boleh dipercayai dalam menyampaikan naratif yang rakyat inginkan.
"Lupakan permainan kotor dan tindakan tidak bertanggungjawab kerana ia tidak mencerminkan pemimpin berwibawa dan yang sentiasa meletakkan rakyat di tangga teratas," katanya.
Kata beliau, justeru menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mencari jalan penyelesaian bagi setiap konflik yang berlaku.
"Masih banyak cabaran yang ada di hadapan, menanti masa untuk meruntuhkan apa yang telah kita bina.
"Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam mencari jalan penyelesaian untuk setiap konflik yang ada," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Peralihan kuasa terpulang kepada saya, kata Tun M
Semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata, peralihan kuasa antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan berlangsung selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tetapi terpulang kepadanya sama ada mahu melepaskan jawatan tersebut atau pun tidak.
Menurutnya, tiada tarikh atau masa yang spesifik ditetapkan untuk proses peralihan kuasa itu mengambil tempat sambil menegaskan keputusan tersebut diputuskan oleh mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan sebulat suara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!