Ahmad Zahid jumpa Hadi kukuhkan Muafakat Nasional
KUALA TERENGGANU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung Pas bagi mengukuhkan Muafakat Nasional.
Melalui catatan laman Facebook rasmi beliau hari ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengucapkan penghargaan atas kunjungan Ahmad Zahid bersama barisan kepimpinan tertinggi UMNO.
“Terima kasih atas kesudian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan tertinggi UMNO yang hadir ke Pejabat Agung Pas pagi ini.
“Pertemuan diadakan bagi mengukuhkan persefahaman yang terjalin di bawah Muafakat Nasional, seterusnya melangkah ke hadapan secara bersama,” katanya melalui Facebook rasmi beliau.
Turut kelihatan dalam pertemuan itu adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selepas satu jam dimuatnaik, hantaran mengenai pertemuan itu mendapat 2,900 tanda suka, 127 komen serta 264 perkongsian dan rata-rata netizen mendoakan muafakat nasional antara parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!