Padah guna perisian ciplak
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu dua buah premis perniagaan di Seksyen 13 di sini dan Taman Perindustrian Puchong selepas disyaki menggunakan perisian cetak rompak.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan berasingan itu dilakukan pada Selasa dan Rabu lalu hasil maklumat dan risikan.
“Serbuan pertama di premis grafik di Puchong mendapati dua set komputer dikesan mengandungi perisian salinan langgaran (cetak rompak).
“Premis terbabit juga gagal mengemukakan lesen pemilikan perisian Autocad dan Microsoft yang digunakan. Susulan itu, kita telah menyita set komputer terbabit dengan nilai rampasan RM2,000,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Bagi serbuan kedua di premis konsultan di Shah Alam, KPDNHEP Selangor turut menyita dua set komputer atas kesalahan sama dengan nilai rampasan bernilai RM4,000.
Katanya, barang kes dibawa ke stor KPDNHEP di Bukit Raja untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!