Pentadbiran negara perlu nafas baharu, kata Shahidan
ALOR SETAR - UMNO Perlis mencadangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuntik pendekatan baharu dalam pentadbiran susulan prestasi menteri Kabinet yang didakwa lemah mengurus isu dalam negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sudah tiba masanya Dr Mahathir merombak barisan Kabinetnya bagi memastikan negara dipacu pada landasan yang tepat.
Menurutnya, antara pendekatan termasuk pembentukan pakatan baharu mahupun melakukan rombakan dengan menggantikan individu lebih berpengalaman mengurus pentadbiran.
“Dr Mahathir perlu segera beri nafas baharu dalam pentadbiran negara. Rombak sahaja Kabinet sedia ada sebab ia sudah gagal namun apa pun pendekatan terpulanglah pada beliau,” katanya kepada Sinar Harian.
Itu reaksi Shahidan ketika mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin yang mendakwa ada kalangan menteri Kabinet kini bukan sahaja angkuh, malah enggan menerima pandangan orang ramai termasuk enggan menjawab surat kononnya sangat sibuk dengan tugas.
Shahidan bagaimanapun menyifatkan teguran Daim itu sudah terlambat.
“Rombak maksudnya pelbagai, ambil pendekatan baharu seperti bentuk satu pakatan sebab tak ramai layak kalangan pemimpin PH. Sebab itu saya setuju dengan pandangan Tun Daim, bukan angkuh sahaja malah tidak bijak urus kementerian,” katanya.
Menurutnya, kerajaan PH memiliki seorang perdana menteri yang hebat, namun menteri Kabinetnya tidak sehebat yang disangkakan.
“Dr Mahathir bagus tetapi tidak dibantu dengan baik oleh Timbalan Perdana Menteri mahupun menteri lain, malah ada menteri sering buat kenyataan berbaur isu perkauman. Kenyataan tidak konsisten boleh menyebabkan pasaran saham jatuh. Bagaimana negara mampu bertahan dalam keadaan sekarang,” katanya.
Shahidan berkata, pembangkang tidak akan mendiamkan diri sekiranya negara dihimpit pelbagai masalah seperti pendapatan menurun, harga barang naik serta bantuan kepada rakyat dihapuskan.
“Yang marah PH adalah rakyat, bukan pembangkang. Rakyat ini yang jatuhkan kerajaan BN sekarang rakyat ini juga yang tidak puas hati dengan kerajaan PH yang tidak efisyen. Rakyat susah bukan sebab ekonomi dunia meleset, pasaran saham Indonesia, Singapura dan Filipina naik, siapa cakap pasaran dunia jatuh adalah satu pembohongan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!