Beri ruang kepada Dr Mahathir: Marzuki

Marzuki menyampaikan replika cek faedah pencen penakat kepada Norwani.
Marzuki menyampaikan replika cek faedah pencen penakat kepada Norwani.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Semua pihak digesa memberi ruang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan mengenai transisi penyerahan kuasa kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkata, tiada desakan yang perlu diberikan kepada Dr Mahathir mengenai peralihan kuasa itu berikutan semua pimpinan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyokong kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Bersatu mengambil pendirian yang kita memberikan ruang kepada semua untuk beri kuasa kepada Dr Mahathir buat keputusan, tak kira masa bila nak letak jawatan itu beliau akan umum nanti.

"Tak perlu desakan kerana kita semua menyokong, yang ada dalam PH menyokong kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan itu keputusan yang dicapai dalam mesyuarat semalam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini tengah hari tadi.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan di dalam PH terutama daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang menggesa Dr Mahathir menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Memetik laporan portal berkenaan, pemimpin Bersatu dalam mesyuarat tersebut dikatakan telah memberi amaran bahawa Bersatu akan mempertimbangkan keluar PH sekiranya mereka terus menekan Dr Mahathir.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Marzuki berkata, tidak timbul soal beri tekanan kepada Dr Mahathir semasa mesyuarat seperti dilaporkan portal berita berkenaan sebaliknya ia adalah perbahasan dan pandangan masing-masing dalam membincangkan isu berkenaan.

Katanya, apa yang lebih penting pada masa ini adalah semua pimpinan perlu fokus kepada pembangunan ekonomi dan bukannya memikirkan soal transisi ini sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kalau kita berterusan memberi tekanan kepada Dr Mahathir menetapkan tarikh dan sebagainya ini bermakna kita sendiri seolah-olah mahu meruntuhkan ekonomi dan pembangunan negara kita," katanya.

Terdahulu, Marzuki mengadakan lawatan ke atas keluarga bekas pegawai media beliau, Allahyarham Mohd Tajuddin Mohd Kassim di Taman Koperasi Guru, di sini hari ini.

Dalam lawatan berkenaan, Marzuki menyampaikan cek faedah pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu Mohd Tajuddin, Norwani Harun serta anak tunggal mereka, Nurul Humairah,15.

Turut hadir dalam majlis berkenaan,Timbalan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Chiam Hong Lan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!