Wanita maut, dua cedera nahas pacuan empat roda dengan treler

Keadaan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Foto BBP Kota Tinggi
Keadaan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Foto BBP Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut manakala dua cedera dalam nahas melibatkan kenderaan pacuan empat roda dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 30.0 Jalan Johor Bahru-Mersing di persimpangan lampu isyarat Taman Sri Saujana di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan daripada orang awam pada jam 9.50 pagi.

“Dalam nahas tersebut, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat penumpang dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan.

“Mayat pemandu Toyota Hilux dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

Keadaan treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. Foto BBP Kota Tinggi
Keadaan treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. Foto BBP Kota Tinggi

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan II, Saiful Aziz Sidek berkata, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan enam anggota bomba dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba ke lokasi yang turut disertai tiga pegawai perubatan dan lima anggota polis, PKO mendapati kemalangan tersebut melibatkan Toyota Hilux yang dinaiki lima individu sementara lori treler jenis Hino dinaiki seorang pemandu.

Artikel Berkaitan:

“PKO yang diketuai PBK II Saiful Afiz Sidek, melakukan penilaian situasi (size-up) sebaik tiba ke lokasi dan mendapati seorang mangsa tersepit dalam Toyota Hilux.

“PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat pemotong hidraulik," katanya.

Difahamkan mangsa yang maut dikenali sebagai Jelambai Rirong, 51, manakala yang cedera pula, Carolynna Cynthia Robert, 44, dan Franklin Xavier Robert, 14.

Selain itu dua lagi penumpang Toyota Hilux, Selina Imbat, 44, dan Tatiana Teressa Robert, 7, serta pemandu treler, Muhammad Nashrul Md Othman, 26, tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala kesemua mangsa yang cedera pula diserahkan kepada pegawai perubatan di lokasi untuk rawatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!