Sensitivi agama: Zahid, Moorthy antara akan dipanggil polis

Noor Rashid -Foto Bernama
Noor Rashid -Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy antara sembilan individu yang akan dipanggil pihak polis berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan perkauman di laman sosial.

Tujuh lagi ialah Presiden Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah; Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong; Adun Tras Chow Yu Hui; Pengerusi Gabungan 3 Ragvinder Singh dan Timbalannya Amran Ahmad Nor serta blogger Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyas atau Edi Rejang.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Polis memandang serius kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman dan agama sehingga timbul kegelisahan dan kegusaran masyarakat.

"Isu yang dimainkan ini jika tidak dikawal dan diurus dengan baik akan menjurus kepada keadaan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata lebih 160 laporan polis telah diterima dari seluruh negara dengan beberapa kertas siasatan menurut Seksyen 504, 505 dan 506 Kanun Keseksaan telah dibuka.

"Polis menjunjung tinggi hak asasi manusia melalui kebebasan bersuara, bagaimanapun hak tersebut haruslah diamalkan dengan penuh tanggungjawab dan mengikut batasan undang-undang.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya demi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sebab Ahmad Zahid turut dipanggil oleh pihak polis, Noor Rashid berkata pihaknya menerima laporan polis yang mengaitkan bekas timbalan perdana menteri itu dengan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. "Jadi kita (polis) perlu dapatkan penjelasan daripada YB (Ahmad Zahid),” katanya. -Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!