'Usain Bolt' Malaysia cipta rekod baharu acara 200m
JULUKAN 'Usain Bolt' Malaysia ternyata tepat dengan pelari remaja negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara 200m di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 1 di Stadium Perak, di sini hari ini.
Atlet berusia 16 tahun itu menepati sasaran meraih pingat emas selepas mencatat 21.04 saat (s), mengatasi catatan masa 21.44s yang dilakukan G.Aravinn pada 2016.
Rekod kebangsaan acara 200m iaitu 20.77s dimiliki oleh Russel Alexander Nasir Talib yang dicipta pada Kejohanan Trek Klasik Queensland, Brisbane, Australia pada Mac 2019.
Muhammad Azeem, yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Perak, berkata beliau bukan sahaja gembira kerana memecah rekod kejohanan, malah berjaya memperbaiki catatan peribadi iaitu 21.15s yang dilakukan di Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand (TSSG) di Khon Kaen, timur laut Thailand, Ogos tahun lalu.
"Sebenarnya, fokus hanya untuk buat yang terbaik, tidak sangka boleh pecahkan rekod kejohanan dan rekod peribadi. Saya gembira dan amat bersyukur kerana ini kejohanan pertama yang saya sertai tahun ini di tempat sendiri. Memang rezeki sayalah," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Pelari yang mencetuskan fenomena baharu arena olahraga negara itu menewaskan V. Haarissh dari Selangor yang mencatat 22.04s untuk pingat perak, manakala Mohd Hafiz Danial Roslan dari Kelantan meraih gangsa dengan masa 22.28s.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu berkata, beliau sedang mempersiapkan diri untuk Kejohanan Remaja Asia ke-19 di Bangkok, Mei ini, yang juga platform terbaik untuk layak secara merit ke Kejohanan Remaja Dunia Bawah 20 tahun di Kenya, Julai nanti.
"Untuk itu saya akan buat persiapan awal dan kejohanan terdekat untuk pemanas badan adalah kejohanan MSS di Negeri Sembilan pada April ini," katanya, yang turut beraksi dalam acara 100m esok.
Kejohanan Olahraga Perak All-Comers berlangsung selama dua hari mulai hari ini dengan penyertaan lebih 1,000 atlet dalam pelbagai acara antaranya jalan kaki, lari berpagar dan lempar cakera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!