Janganlah banding dengan dividen 10 tahun lepas: KWSP
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jangan bandingkan dividen Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) yang diumumkan bagi 2019 dengan 10 tahun lalu kerana kerana persekitaran adalah berbeza, kata Ketua Pegawai Alizakri Alias.
KWSP telah mengumumkan dividen bagi 2019 sebanyak 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus untuk Simpanan Shariah, yang masing-masing melibatkan jumlah agihan RM41.68 bilion dan RM4.14 bilion.
Menurutnya, dividen bagi Simpanan Konvensional adalah yang paling rendah.
“Tahun lepas ada Perang Perdagangan, Brexit dan (kekecohan) di Hong Kong. Tahun ini pula ada COVID-19,” kata beliau kepada TV3 hari ini selepas ditanya mengenai perbandingan tersebut.
Oleh Itu, tidak adil membuat perbandingan seperti itu.
“Kalau mahu lihat prestasi dividen kita, tengok prestasi kita berbanding tahun lepas dengan tahun lepas juga, kita tengok juga amanah lain, dana lain, betul ke kita cemerlang atau di bawah prestasi," katanya.
Jika dinilai khusus pada prestasi saham, sememangnya KWSP telah memberi pulangan yang jauh lebih baik daripada pengurus dana ekuiti lain.
"Kita juga kena fikirkan, bagaimana prestasi KWSP berbanding saingan yang lain, dari kelas aset, kita tkena tengok kualiti aset, saham serta prestasi mereka pada tahun lepas secara median, mereka beri pulangan sebanyak tiga peratus... kalau KWSP, daripada segi saham sahaja, kita beri pulangan lebih tujuh peratus...daripada perspektif KWSP, kita sebenarnya sudah buat yang terbaik," katanya.
KWSP menjangkakan 2020 akan menjadi satu tempoh yang lebih mencabar berbanding 2019, dengan kesan penularan COVID-19 mungkin mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global.
ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum dividen 5.45 peratus
Beliau berkata, perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang masih lagi tidak menunjukkan tanda akan berakhir menjadi antara risiko ke atas pemulihan ekonomi yang lain.
Alizakri juga menjelaskan dana pelaburan seperti kumpulan wang pekerja tidak boleh membuat keputusan yang tergesa-gesa.
"Ini membabitkan pelaburan jangka panjang, kita tidak boleh menarik diri secara serta merta kalau ada sesuatu yang berlaku atau terus masuk melabur secara melulu.
"Kita mengambil pendekatan berhemah, kita buat kajian dengan betul, kita perlu menjadi konservatif, sebab ini adalah dana persaraan dan bukan sesuatu yang kita boleh pertaruhkan, ada orang cakap mengapa kita tidak membuat pelaburan berisiko, kita tidak boleh berbuat begitu kerana ini adalah wang persaraan dan perlu pastikan wang ini tersedia dengan cukup selepas pencarum kita bersara nanti.
Dalam kenyataan sebelum ini, Alizakri memberi jaminan kepada 14.6 juta anggotanya, yang meliputi lima generasi warga kerja Malaysia, bahawa KWSP maklum dengan tekanan yang sedang meningkat pada dekad baharu ini.
Sementara itu, beliau turut menegaskan KWSP sama sekali tidak akan membenarkan sebarang kompromi membabitkan kepentingan pencarumnya semasa proses penstrukturan semula Plus Malaysia Bhd.
Alizakri berkata, perbincangan sedang dilaksanakan dan membuahkan hala tuju positif.
“Berita baiknya adalah perbincangan sedang dijalankan, hala tuju positif berlaku, kita seharusnya melihat kepada resolusi akhir dan pemuktamadan, dalam jangka terdekat ia akan memberi kesan kepada caruman?
“Jadi, seperti yang saya katakan, apa jua keputusan yang kami setuju, kami akan memastikan hak-hak ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dipertahankan pada setiap masa, kami tidak akan berkompromi mengenainya,” katanya dalam temu bual bersama saluran televisyen TV3 hari ini.
Kerajaan sebelum ini bersetuju menstrukturkan semula Plus dengan kadar tol dikurangkan 18 peratus.
Khazanah Nasional memegang 51 kepentingan Plus manakala baki 49 peratus lagi dimiliki KWSP. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!