Rakyat Sabah pentingkan keupayaan Dr Mahathir

Mohd Shafie (tengah) bersalaman dengan para tetamu sewaktu hadir pada program Ceria Ke Sekolah peringkat Parlimen Semporna di Dewan Masyarakat Semporna hari ini. -Foto Bernama
Mohd Shafie (tengah) bersalaman dengan para tetamu sewaktu hadir pada program Ceria Ke Sekolah peringkat Parlimen Semporna di Dewan Masyarakat Semporna hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEMPORNA- Peralihan kepimpinan negara bukan keutamaan bagi negeri Sabah, tetapi adalah keupayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin Malaysia setelah kerajaan hari ini dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum lepas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau telah menyuarakan pendapatnya sebagai Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan, mengenai pentingnya tumpuan diberikan kepada Dr Mahathir untuk memimpin negara sebagai perdana menteri.

"Peralihan (kepimpinan) bukannya mudah. Ia (peralihan kepimpinan) bukanlah keutamaan (bagi Sabah). Rakyat mahu ada peluang pekerjaan (walaupun) ekonomi semakin mencabar di pentas dunia," katanya kepada pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tiga syarikat berkaitan kerajaan di sini hari ini.

Menurut Mohd Shafie, tumpuan harus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara selaras dengan tuntutan rakyat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir bahawa tiada tarikh ditetapkan bagi peralihan jawatan perdana menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam semalam.

Pada majlis CSR itu, Mohd Shafie menyampaikan beg dan peralatan sekolah serta wang saku kepada 1,200 pelajar memerlukan di Semporna yang disumbangkan Sabah Electricity Sdn Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada pelajar berkenaan yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!