Covid-19 pratayang kesihatan dunia
KESAN ekonomi yang sangat teruk akibat wabak Covid-19 adalah kerana ia berlaku sekarang dan di China.
Macam kita tahu, sebelum berlaku Covid-19 pun, ekonomi dunia sudah berada dalam keadaan yang sukar.
Kalau wabak itu berlaku, katakan 20 atau 25 tahun lalu, kesannya tidaklah seteruk sekarang kerana pada masa itu komunikasi massa tidak semudah masa ini dan China belum muncul sebagai kuasa ekonomi dunia.
Pertama, dengan adanya teknologi telefon pintar dan media sosial, perhubungan dan penyebaran maklumat, sama ada rasmi atau peribadi, sahih atau palsu berada di hujung jari.
Kedua, China sekarang adalah kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS). Malah, ada perangkaan mengatakan China sudah mengatasi AS.
Sebab itulah AS membuat bermacam-macam helah dan mengambil berbagai-bagai tindakan ke atas China sehingga terjadi perang perdagangan.
Ketiga, sikap tamak syarikat-syarikat besar dunia, khususnya dari AS, menyebabkan dunia semakin bergantung kepada China.
Mereka memindahkan pengeluaran mereka ke China bagi mengambil kesempatan daripada kos buruh yang rendah dan pasaran China yang besar.
Akibatnya, hari ini tambah banyak negara di dunia yang semakin bergantung kepada China sebagai sumber bekalan dan pasaran untuk barang-barang keluaran mereka.
Keempat, dengan bantuan modal dan teknologi luar, khususnya AS dan Eropah, China menjadi maju dalam masa yang amat singkat.
Maka, apabila berlaku wabak Covid-19 mulai tahun lalu, seluruh dunia terjejas kerana boleh dikatakan keseluruhan sistem ekonomi dan perdagangan antarabangsa terkena tempiasnya.
China tidak dapat mengeluarkan barangan untuk dunia, pelancongnya tidak dapat mengembara ke luar negara, pelancong luar tidak dapat masuk ke China dengan bebas dan ketidakpastian mengenai pengawalan Covid-19 menyebabkan seluruh dunia berada dalam keadaan bimbang dan tidak menentu.Inilah bahaya apabila dunia termasuk negara kita terlalu bergantung kepada China semata-mata kerana negara itu mempunyai pasaran yang besar dengan bilangan penduduk hampir 1.4 bilion.Dunia juga bersikap hipokrit dalam hubungan mereka dengan China. Mereka bimbang dan cemburu dengan kepesatan ekonomi China tetapi pada masa yang sama mereka tidak teragak-agak mengambil kesempatan daripada sistem politik terkawal negara itu.
Tanpa wabak Covid-19 pun ekonomi dunia sudah kucar-kacir akibat perang dagang China-AS. Wabak ini sekadar memburukkan lagi keadaan.
Realitinya, kalau kita lihat dari sudut perangkaan dan saintifik, wabak Covid-19 seperti kita tahu sekarang tidaklah seburuk yang digambarkan.
Daripada 1.4 bilion rakyat China, hanya lebih kurang 77,000 orang disahkan dijangkiti. Daripada jumlah itu, angka kematian adalah 2,249 orang sehingga 21 Februari. Di luar China pula, tidak sampai 1,000 orang disahkan dijangkiti dan hanya dua atau tiga meninggal dunia.
Itu menunjukkan wabak Covid-19 bukanlah penyakit yang membunuh secara besar-besaran, malah bilangan yang sembuh adalah jauh lebih ramai daripada yang terkorban. Namun begitu, kita tidak boleh ambil mudah kerana virus boleh bertukar bentuk menjadi lebih mengancam.
Kesimpulannya, wabak Covid-19 boleh dianggap sebagai pratayang kepada apa yang akan berlaku pada masa depan dengan kebangkitan China sebagai kuasa politik, ekonomi dan ketenteraan dunia.
Dengan semakin ramai pelancong China mengembara ke luar negara dan pelancong dunia melawat China kemungkinan merebaknya penyakit berjangkit akan menjadi bertambah besar.
Sudah diketahui umum bahawa amalan kebersihan, khususnya dalam pertanian dan pemakanan, adalah antara punca kuman mudah membiak dan bertukar menjadi penyakit. Jadi kita kenalah berhati-hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!