Aplikasi Zakat on Touch
ZAKAT merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat adalah bagi mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
Ibadah itu juga memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dengan mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
Wang zakat yang dibayar mampu mengubah kehidupan asnaf fakir dan miskin untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Bagaimanapun, masih ada golongan yang mempersoalkan ketelusan badan zakat sama ada zakat yang dibayar sampai kepada asnaf yang memerlukan.
Baru-baru ini, saya berkesempatan melawat pejabat Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan berbicara dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman. Antara perkara yang begitu menarik perhatian saya ialah aplikasi Zakat on Touch (ZOT) yang telah dibangunkan sendiri oleh staf LZNK.
Aplikasi ZOT memudahkan pihak pengurusan dan pembayar zakat memantau serta menyemak kutipan juga agihan zakat menggunakan telefon pintar. Ini meningkatkan ketelusan dan kecekapan. Saya juga telah memuat turun aplikasi ini. Melaluinya, saya boleh lihat terdapat 578 masjid di seluruh negeri Kedah.
Sehingga artikel ini ditulis, ZOT menunjukkan kutipan semasa zakat adalah sebanyak RM19.2 juta manakala agihan sebanyak RM19.6 juta.
Butiran lanjut juga dapat dilihat dengan mengklik pada mana-mana nama masjid. Contohnya, apabila saya klik pada Masjid Al Aziz Tanjung Bendahara, nama Penolong Amil Agihan tertera berserta jumlah agihan zakat semasa sebanyak RM37,125 manakala jumlah kutipan semasa sebanyak RM1,500
Saya juga dapat melihat senarai nama 68 orang yang menerima bantuan bagi Januari 2020.
Selain itu, saya juga boleh melihat rekod tahun 2019 yang menunjukkan terdapat 65 orang penerima bantuan bulanan serta 34 orang penerima bantuan sekaligus dengan jumlah agihan sebanyak RM313,964.98 manakala jumlah kutipan adalah RM45,331. Begitu juga rekod bagi tahun 2018. Mudah, bukan?
Aplikasi itu membolehkan pembayar zakat melihat sendiri ke mana wang zakat mereka diagihkan dan ini memberi keyakinan kepada mereka untuk terus membayar zakat. Kutipan zakat LZNK telah meningkat dengan begitu ketara iaitu daripada RM140 juta pada tahun 2017 kepada RM184 juta pada tahun 2018 dan RM207.5 juta pada tahun 2019. Ini jelas menunjukkan kesan positif aplikasi ini.
Setiap 578 masjid yang tertera pada aplikasi tersebut juga disertakan dengan latitud dan longitud GPS bagi memudahkan pencarian jika pengguna hendak ke situ. Selain itu, pengguna juga boleh mengubah pandangan peta kepada pandangan satelit untuk melihat fizikal masjid sebagaimana aplikasi “Google Earth”. Memang canggih.
Kini, melalui aplikasi yang sama, pembayar zakat juga boleh melihat inventori bank makanan (food bank) di masjid seluruh Kedah bagi dibekalkan kepada asnaf fakir dan miskin. Badan pengurusan zakat dari Nigeria dan Uganda telah turut berkunjung ke Kedah bagi mempelajari tentang pengurusan zakat LZNK.
Syabas kepada Syeikh Zakaria Othman yang berjaya melakukan transformasi dalam pengurusan zakat LZNK. Inovasi sebegini menambah baik pengurusan zakat sekaligus menangani dakwaan mahupun persoalan berkaitan kewibawaan dan ketelusan lembaga zakat dalam menguruskan wang zakat yang diterima.
Aplikasi ZOT memudahkan pihak pengurusan dan pembayar zakat memantau serta menyemak kutipan juga agihan zakat menggunakan telefon pintar.”
*Dr. Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!