Sahut cabaran rakan, pelihara haiwan eksotik
KUANTAN - Cabaran seorang rakan mengubah persepsi peniaga, Amirul Hakimi Ahmad yang sebelum ini menganggap haiwan berdarah sejuk menggelikan.
Pemuda berusia 24 tahun ini membuktikan kemampuan memegang dan bermain dengan beberapa haiwan eksotik termasuk ular, tikus dan iguana hijau.
Amirul Hakimi juga sanggup berbelanja besar bagi membeli haiwan berkenaan untuk dijadikan haiwan kesayangan.
“Kini, saya memiliki tujuh ular sawa batik, iguana hijau, biawak Afrika, tikus dan dua musang yang dibeli pada harga lebih RM3,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pertama di sini semalam.
Amirul Hakimi berkata, empat tahun lalu dia mula memelihara seekor musang pandan ketika belajar di Politeknik Sultan Haji Ahamd Shah (Polisas) Semambu sebelum menambah beberapa haiwan eksotik lain.
Menurutnya, selain mengisi masa lapang, membelai haiwan eksotik dapat menenangkan fikiran dan menghilangkan tekanan selepas penat berkerja.
“Kita perlu memahami sifat haiwan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Contohnya, walaupun ular sawa bersifat jinak namun reptilia itu boleh menyerang jika terancam, lapar dan terkejut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!