Ayam sejuk beku, minyak diesel seludup dirampas
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas ayam sejuk beku dan minyak diesel serta dua buah kenderaan berjumlah RM105,900 yang digunakan untuk menyeludup barangan itu dalam serbuan berasingan semalam.
Serbuan pertama pada jam 5.30 pagi di pangkalan haram Awang Bunga, Tanah Merah di mana 395 kotak ayam sejuk beku dirampas.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, nilai rampasan barangan seludup termasuk lori yang digunakan untuk aktiviti itu dianggarkan bernilai RM85,400.
"Kejayaan ini adalah hasil rondaan rutin dijalankan oleh anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu yang telah terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari perahu ke dalam sebuah lori.
"Menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki itu terus bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran," katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke dalam lori berkenaan membawa penemuan ayam sejuk beku yang cuba diseludup masuk secara haram ke negara ini.
Katanya, kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan lanjut.
"Serbuan kedua di salah sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, PGA telah merampas 230 liter diesel yang cuba diseludup menggunakan tangki tambahan.
"Tangki tambahan itu diletakkan di bahagian tempat duduk belakang pacuan empat roda jenis Frontier," katanya.
Nor Azizan berkata, dalam serbuan itu PGA turut menahan pemilik kenderaan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Katanya, operasi akan dilipat ganda dalam membanteras jenayah lintas sempadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!