MBDJB nafi buat kutipan derma
JOHOR BAHRU - Majlis Belia Daerah Johor Bahru (MBDJB) menafikan pihaknya ada membuat sebarang kutipan derma bagi penganjuran sebarang program mereka.
Ia susulan MBDJB berjaya mengesan kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut yang mana dilakukan seorang individu dengan menggunakan kepala surat badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Pengerusi MBDJB, Mohammad Sidek Roslan berkata, surat yang dikeluarkan itu adalah palsu dan tidak pernah mendapat kebenaran daripada pihaknya.
Katanya, selain daripada menggunakan nama MBDJB, aktiviti itu turut mengaitkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
"Pihak kami amat memandang serius mengenai isu kutipan dana ini dan menafikan sekerasnya tindakan individu tersebut.
"Kami juga meminta kepada orang awam yang didatangi atau menerima sebarang permohonan kutipan sumbangan ini untuk membuat segera membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohammad Sidek berkata, pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan berharap tindakan tegas dapat diambil.
"Ini satu isu serius, kami percaya perbuatan ini juga dilakukan untuk kepentingan peribadi," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penularan dan kegiatan aktiviti kutipan palsu itu berjaya dikesan apabila pihaknya sendiri menerima surat berkenaan menerusi aplikasi sosialnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!