[VIDEO] Batal lesen bazar Ramadan jika jual kepada pihak ketiga - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga.
Tegas Anwar, penglibatan ejen selaku orang tengah yang 'memakan' komisen besar sudah berlarutan saban tahun.
"Apa masalahnya untuk beri lesen kepada orang berniaga tanpa melalui wakil (ejen)?" katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.
Jelas Anwar, situasi itu bukan hanya berlaku di DBKL sahaja malah hampir di semua kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.
"Kalau persatuan ambil berpuluh ringgit untuk pengawasan dan kebersihan, itu saya faham.
"Tetapi dijual semula, maknanya penjawat awam terlibat itu tahu dan bersekongkol.
"Saudara harus faham, ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur, di hampir semua ibu kota negara kita," katanya.
Menurutnya, situasi berkenaan harus dihentikan dengan langkah penguatkuasaan yang tegas perlu diambil oleh pihak berkenaan.
"Bayangkan orang hendak berniaga pada Ramadan untuk mendapatkan hasil dan upah yang lebih tinggi serta persiapan Aidilfitri kepada keluarga," ujar beliau.
Menerusi ucapannya, Anwar turut memuji langkah DBKL menurunkan harga tapak bazar Ramadan yang lebih rendah.
"Terima kasih kerana kurangkan kadar. Tapi kena pastikan siapa dapat lesen, dia kerja. Kalau pindahkan, batalkan segera," katanya.
Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini.
Langkah tersebut bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik selepas terdapat rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai pengoperasian kedai haram dan kehadiran pendatang asing tanpa izin membugar di kawasan perniagaan di ibu kota Kuala Lumpur.
Katanya, keadaan itu telah dibiarkan sejak sekian lama dan jika tindakan diambil, ia kelihatan seolah-olah suatu kegiatan yang besar.
"Kalau dibiarkan, keadaan itu menjadi bobrok sedemikian, puluhan tahun diizinkan.
"Jadi sebab itu saya ingin menggesa dan menyokong langkah diambil supaya tegas. Ikut peraturan dan bukan bertindak ganas atau zalim. Tidak," katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Dr Zaliha.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!