Tindakan ke atas Afif berat sebelah
GEORGETOWN - Tindakan Lembaga Disiplin PKR yang mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin disifatkan sebagai berat sebelah.
Kenyataan itu dibuat tujuh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang menyatakan kekecewaan terhadap tindakan tersebut.
Menurut kenyataan mereka, Afif adalah pemimpin parti yang sentiasa membawa mesej perpaduan dalam kalangan ahli akar umbi parti.
"Tuduhan liar ini sama sekali tidak dapat memadamkan segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan oleh beliau (Afif) kepada parti. Pesanan terakhir beliau kepada kami pada pemilihan parti lalu masih diingati.
"Beliau berpesan agar sayap pemuda parti terus maju bersama melaksanakan agenda reformasi dan Malaysia Baharu menjadi panduan untuk kami kekal mengangkat parti menjulang suara anak muda sebagai suara keramat," kata.
"Kami juga menolak sebarang bentuk diskriminasi kuasa yang dilakukan oleh Lembaga Disiplin Keadilan terhadap Afif," kata mereka.
Sehubungan itu, mereka berpendirian untuk kekal bersama dan menyokong Afif menghadapi tuduhan berkenaan.
Mereka yang menandatangani kenyataan tersebut adalah Ketua AMK Cabang Bukit Mertajam, Mohd Ikhwan Nasser Mohamad Isa; Ketua AMK Cabang Bagan, Mohamad Akmal Azhar; Ketua AMK Cabang Tanjong, Ahmad Al- Farooqi Haja Mohideen; Ketua AMK Bukit Gelugor, Hari Krishnan; Ketua AMK Cabang, Jelutong Muhamad Nayim Othuman Mydin; Ketua AMK Batu Kawan, Ashokumar Subramaniam dan Ketua AMK Nibong Tebal, Muhammad Firdaus Othman.
Jumaat lalu, Afif yang juga bekas Timbalan Ketua AMK menerima surat tunjuk sebab atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terbabit dalam kekacauan pada Kongres AMK di Melaka Disember lalu.
Exco Pulau Pinang itu terkilan dengan surat yang dikeluarkan dan memaklumkan beliau akan berbincang dengan rakannya dalam parti yang menerima surat sama berhubung dakwaan yang dikenakan ke atas mereka.
Melalui Notis Tunjuk Sebab PKR bertarikh 20 Februari dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin PKR, Ahmad Kasim itu, Afif didakwa melakukan sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional AMK 2019.
Kongres itu berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 6 Disember tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!