Kesemua 100 anak kapal World Dream disahkan negatif Covid-19
KUALA LUMPUR - Kesemua 100 anak kapal persiaran World Dream yang berlabuh dengan status kuarantin di Tanjung Pengelih, Johor disahkan negatif koronavirus (Covid-19) hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, semua anak kapal warganegara Malaysia itu telah disaring kesihatan pada 22 Februari lalu sebelum dibawa ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), Kluang, Johor untuk tujuan persampelan dan survelan bagi ujian pengesahan Covid-19.
“Hasil pemeriksaan kesihatan yang dijalankan, kesemua 100 anak kapal ini tidak mempunyai gejala dan keputusan ujian pengesahan Covid-19 yang diterima pada 23 Februari adalah negatif.
“Mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah masing-masing selama 14 hari dari tarikh mereka memasuki Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dr Noor Hisham berkata, perjalanan pulang anak-anak kapal ini ke tempat masing-masing juga telah diaturkan sama ada diambil oleh ahli keluarga mereka atau menggunakan kemudahan bas yang telah disediakan.
Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai anak-anak kapal terbabit, dan pemantauan kesihatan harian akan dijalankan ke atas mereka.
Anak-anak kapal itu juga telah dinasihatkan untuk mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang juga merupakan perintah di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Wakil perubatan kapal persiaran berkenaan juga telah memuji tindakan kerajaan membawa pulang anak kapal warganegara Malaysia, serta memaklumkan proses saringan kesihatan yang telah dijalankan adalah teratur dan dikoordinasikan dengan baik dan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan mengucapkan tahniah kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan proses saringan kesihatan dijalankan sebaik mungkin dan lancar, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!