Malaysia jemput Jepun sertai dua persidangan antarabangsa
PUTRAJAYA - Malaysia hari ini menjemput Jepun untuk mengambil bahagian dalam dua persidangan antarabangsa; Sidang Kemuncak Dunia Kesenian dan Kebudayaan ke-lapan, dan Persidangan Pelancongan Dunia; yang akan diadakan tahun ini.
Jemputan itu disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi kepada Menteri Tugas-tugas Khas Jepun Takuya Hirai, semasa menteri dari negara matahari terbit itu membuat kunjungan hormat keatasnya di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu Mohammadin berkata Sidang Kemuncak Kesenian dan Kebudayaan itu akan berlangsung di Kuala Lumpur Mac ini, manakala bagi Persidangan Pelancongan Dunia di Kota Kinabalu Ogos nanti, Malaysia akan bekerjasama dengan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi menjayakannya.
Menurut Hirai pula, pertemuan hari ini membolehkan beliau saling bertukar pandangan serta idea yang bernas dengan Mohamaddin, mengenai cara bagaimana untuk meningkatkan kunjungan pelancong antara dua negara di samping mengukuhkan lagi hubungan.
"Hubungan Malaysia dan Jepun kini amat baik, dan akan bertambah akrab di masa hadapan. Jepun amat mengalu-alukan ketibaan pelancong dari Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!