Jalan pulang Dr Mahathir

A
A
A

KETIKA rencana ini diterbitkan, satu lagi catatan bersejarah negara mungkin telah berlaku. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Istana Negara bersama pemimpin parti-parti politik daripada Barisan Nasional, Pas, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memberi sokongan kepada Dr Mahathir merombak Kabinet beliau.

Dipercayai rombakan itu membabitkan perubahan gabungan parti pemerintah dengan mengetepikan DAP, PKR dan Amanah.

Ada yang melihat pergelutan itu kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sabar menjadi Perdana Menteri dan Dr Mahathir enggan bersara. Realitinya isu pentadbiran PH lebih besar daripada itu.

Dr Mahathir walaupun menjadi Perdana Menteri tidak dapat melaksanakan segala perubahan yang beliau hasratkan.

Terdapat gosip politik sejak berbulan lalu bahawa beberapa ketua parti komponen PH yang berjawatan menteri kanan tidak lagi mematuhi arahan dan nasihat Perdana Menteri. Mereka melihat Dr Mahathir hanya menunggu masa untuk bersara, maka arahan beliau bukanlah sesuatu yang perlu dipatuhi.

Menurut sumber, terdapat polisi yang diumum tanpa mengambil kira aspirasi negara dan kehendak Dr Mahathir. Beberapa arahan Dr Mahathir membabitkan kepentingan rakyat diabaikan, dilengah-lengahkan dan ditukar oleh kementerian tertentu.

Justeru, keputusan ‘separuh hati’ Majlis Pimpinan PH Jumaat lalu memberi hak Dr Mahathir memutuskan tarikh persaraannya tidak bererti apa-apa. Dr Mahathir sedar apapun keputusan tersebut tidak mengubah hakikat kumpulan Anwar yang menguasai beberapa kementerian kanan tidak akan mematuhi polisi dan arahannya.

Dr Mahathir yang hilang sabar akhirnya mengumpul ahli Parlimen yang mahu bersama beliau bagi membentuk sebuah kerajaan baharu. Sokongan Pas dan UMNO serta Warisan dan GPS akan membolehkan Dr Mahathir membentuk Kabinet baharu.

Artikel Berkaitan:

Bagi UMNO dan Pas, sokongan itu sangat mudah. Mereka sudah tidak mahu melihat banyak agenda bumiputera, Melayu dan Islam dipinggirkan. Kontroversi ICERD, Statut Rome, Tabung Haji, MARA sangat memenatkan.Ancaman

Jika mementingkan kuasa, mereka akan membuat keputusan tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja. Lebih banyak kerusi dapat dimenangi, lebih banyak jawatan menteri dapat diduduki.

Namun pemimpin politik veteran itu sedar tiga tahun akan datang banyak lagi agenda bumiputera dan Islam akan tersisih dan tercabar. Maka pilihan utama adalah memastikan agenda itu dapat dipertahankan dengan apa cara sekalipun.Dalam beberapa siri artikel saya dalam Sinar Harian sebelum ini saya telah menulis mengenai ancaman kerajaan PH kepada tiang-tiang negara seperti agenda Islam, Melayu, bumiputera dan Raja-raja Melayu. Tidak cukup itu, keadaan ekonomi negara juga tenat berikutan arah berbeza antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Kepentingan menjaga agenda itu tidak dapat dinafikan lagi apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun menyokong rancangan kerajaan baharu itu walaupun Dr Mahathir bertegas Najib mesti menghadapi tindakan undang-undang atas pertuduhan yang dilakukan.

Jika Najib memikirkan kepentingan diri dan populariti beliau yang sedang mencanak sekarang tentulah beliau akan menentang sebarang usaha membentuk kerajaan bersama Dr Mahathir. Namun bagi pemimpin UMNO dan Pas, agenda Melayu dan Islam dalam kerajaan lebih penting daripada kedudukan mereka.

Dalam buku Dilema Mahathir, saya menulis: “Hari ini aura Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin masyarakat Islam dan orang Melayu telah beransur-ansur pudar. Jika tidak diuruskan dengan baik, sejarah mungkin akan menghakimi beliau dengan kejam kali ini.”

Dr Mahathir tidak perlu risau dengan sokongan rakyat kerana keputusan PRU lepas menunjukkan gabungan undi BN dan Pas menerima 51 peratus undi popular keseluruhan.

Yang Dr Mahathir perlu risaukan ialah bagaimana untuk memenuhi kehendak rakyat agar tidak menolak perikatan politik ini dalam pilihan raya akan datang, jika kerajaan baharu ini benar-benar terjadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!