Kapal persiaran penyebar terburuk Covid-19

Sehingga kini, lebih 600 penumpang kapal persiaran Diamond Princess disahkan positif Covid-19. - Foto AFP
Sehingga kini, lebih 600 penumpang kapal persiaran Diamond Princess disahkan positif Covid-19. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun yang hanya sepuluh kes kini meningkat kepada lebih 600 kes dalam tempoh hanya dua minggu.

Susulan situasi itu, pakar memberi amaran kapal persiaran mungkin merupakan kawasan paling bahaya terutama ketika penularan wabak itu.

Bermula 4 Februari hingga Khamis lalu, 3,700 tetamu dan anak kapal itu dikuarantin dalam kapal yang berlabuh di Yokohama sekali gus menjadikannya tapak wabak terbesar di luar tanah besar China.

Menurut profesor geografi pengangkutan di Universiti Hofstra di New York, Jean-Paul Rodrigue, peredaran udara di atas kapal memainkan peranan penting.

"Kapal tersebut merupakan persekitaran yang membolehkan penyakit seperti Covid-19 menular. Peredaran udara di dalamnya lebih buruk berbanding kapal terbang," katanya seperti dilaporkan South China Morning Post.

Kenyataan Rodrigue disokong seorang pakar penyakit berjangkit di Universiti Vanderbilt, William Schaffner, yang mengatakan bahawa kapal persiaran mempunyai persekitaran ideal untuk meningkatkan penyebaran virus sama ada norovirus, koronavirus atau selesema daripada manusia ke manusia.

Di dalam pesawat, udara disalurkan melalui kabin dengan sebahagiannya datang dari luar.

Udara dari luar telah disteril secara semula jadi kerana ia berada pada ketinggian yang tinggi malah penapis udara dalam kapal terbang juga mempunyai kualiti yang sama seperti di dalam bilik operasi.

Artikel Berkaitan:

Covid-19 yang menyebabkan simptom seperti radang paru-paru diketahui disebarkan oleh zarah di udara seperti kebanyakan koronavirus lain dan sehingga kini masih belum pasti tentang laluan penyebaran lain.

Untuk mengelakkan sentuhan dengan zarah udara, pihak berkuasa dari Amerika Syarikat (AS) ke Hong Kong mengesyorkan supaya individu berada pada jarak minimum dua meter dengan pesakit yang dijangkiti virus.

SH: Berinteraksi

Di dalam kapal persiaran, penumpang dan anak kapal berada pada jarak yang lebih dekat dengan kru berdepan risiko paling besar memandangkan mereka perlu sentiasa berinteraksi dengan penumpang bagi memastikan mereka berada di dalam keadaan baik.

"Anak kapal mempunyai hubungan bersemuka yang berpanjangan dalam ruang tertutup selain terpaksa melalui antara satu sama lain dalam ruang sempit. Ini adalah persekitaran yang memungkinkan penyebaran virus," jelas Schaffner.

Sesetengah doktor juga berpendapat bilik dengan tingkap atau balkoni dapat meningkatkan aliran udara sekali gus mengurangkan risiko bagi beberapa penumpang.

Selain Diamond Princess, sebuah lagi kapal persiaran MS Westerdam turut mengalami nasib sama apabila tersadai di laut selama dua minggu selepas lima negara menolak permohonannya untuk berlabuh.

Kapal itu akhirnya berlabuh di pelabuhan Sihanoukville selepas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memberi lampu hijau.

Berdasarkan ujian yang dijalankan, penumpang dan anak kapal MS Westerdam bebas jangkitan Covid-19.

Insiden melibatkan dua kapal persiaran terbabit secara tidak langsung menunjukkan cabaran yang terpaksa dihadapi pihak berkuasa antarabangsa dalam usaha untuk membendung wabak yang setakat malam tadi telah mencatatkan 2,463 kematian dan 78,804 kes yang disahkan di dalam dan luar China.

Pakar turut mengakui pihak berkuasa di Yokohama tidak mempunyai pilihan yang mudah apabila berdepan dengan etika kuarantin semua tetamu di atas Diamond Princess.

Dalam perkembangan berkaitan, keberkesanan langkah Jepun melaksanakan kuarantin penumpang Diamond Princess dipersoalkan apabila seorang wanita yang diuji negatif Covid-19 dan dibenarkan turun dari kapal kemudiannya disahkan positif wabak.

Susulan itu, Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato memohon maaf selepas 23 penumpang dibenarkan turun tanpa diuji dengan teliti.

Menurut laporan AFP, wanita berusia 60-an itu kembali ke rumahnya di wilayah Tochigi di utara Tokyo dengan menaiki kereta api pada Rabu sebelum mengalami demam pada Jumaat dan disahkan positif Covid-19 keesokan harinya.

"Kami menggesa kerajaan mengambil langkah tambahan. Terdapat kebimbangan mereka yang diuji negatif virus kini boleh menunjukkan gejala dan disahkan positif wabak," kata Gabenor Tochigi, Tomokazu Fukuda. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!