Lega bekalan elektrik disambung semula
PASIR MAS - Sebuah keluarga dari Kampung Tanjung, Bunut Susu di sini bertemankan cahaya pelita yang dihasilkan menggunakan minyak masak sebelum ini menarik nafas lega apabila bekalan elektrik di rumah mereka disambung semula.
Penyambungan itu dilakukan selepas semua tunggakan bil elektrik berjumlah RM1,240.85 dilunaskan oleh seorang penderma.
Julailie Yasmin Mohamed Zahari, 35, berkata, penyambungan semula bekalan elektrik merupakan satu anugerah yang tidak ternilai untuk keluarganya.
"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma itu yang sanggup melunaskan semua tunggakan bil tersebut. Saya tidak lagi perlu berulang alik mengangkut air sejauh 30 meter untuk kegunaan harian," katanya.
Menurutnya, bukan itu sahaja mereka sekeluarga tidak lagi perlu bergelap dan menggunakan pelita minyak masak bagi menerangi waktu malam.
Julailie Yasmin memberitahu, dia menerima banyak sumbangan dari orang ramai sejak kisahnya mendapat liputan Sinar Harian.
"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membantu melakukan pendawaian semula bagi membantu penjimatan penggunaan elektrik," katanya.
Katanya, dia bersyukur kepada ALLAH SWT dan hanya mampu berdoa semoga mereka yang menghulurkan bantuan terus dimurahkan rezeki.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga di Kampung Tanjong, Bunut Susu di sini hanya bertemankan pelita minyak masa bagi menerangi malam mereka selepas bekalan elektrik dipotong ekoran masalah tunggakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!