Busana elegan ratu sehari
BAGAIKAN menghadiri majlis perkahwinan klasik pada zaman dahulu kala. Pengantin lelaki tampak segak persis pahlawan apabila lengkap berbaju Melayu, bertanjak dan berkeris, sementelah pasangan pula anggun menyarungkan busana tradisional fabrik songket rona putih dan bersanggul lintang.
Selepas sempurna adat mandi limau, berdandan dan merias kedua-dua mempelai diangkat menaiki tandu khas lalu diarak masuk ke singgahsana pelamin dengan paluan kompang.
Kemeriahan semakin bertambah kala para tetamu yang hadir dalam pakaian tradisional dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian Melayu mengasyikkan.
Itulah keistimewaan dipamerkan sepanjang pertunjukan fesyen Pesta Berinai 2020 Shanell Harun yang berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan lalu.
Paling mengujakan apabila pentas peragaan diserikan dengan 40 koleksi busana pengantin untuk digayakan pada majlis pernikahan, persandingan dan malam berinai.
Menurut Pereka Fesyen dan Pengasas Shanell Harun Creations, Shanell Harun, beliau mengambil inisiatif melancarkan koleksi fesyen pengantin konsep Melayu klasik dalam suasana malam berinai selepas mendapati adat tersebut semakin dilupakan.
"Tatkala membelek album perkahwinan kedua orang tua dan ahli keluarga lain, saya dapati bukan sahaja malam berinai, bahkan, majlis pernikahan dan persandingan sarat dengan elemen tradisional Melayu dari segi pakaian, dekorasi dan cenderahati buat para tetamu.
"Justeru, daripada situ saya mendapat idea dan inspirasi untuk menghasilkan himpunan busana pengantin Melayu klasik bagi mengembalikan nostalgia kemasyhuran nilai estetika tradisional," katanya ketika ditemui Femina pada pertunjukan fesyen Pesta Berinai 2020 Shanell Harun.
Bicara bekas pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Rekaan Fesyen), Universiti Teknologi Mara berkenaan, terdapat 40 rekaan busana pengantin dihasilkan termasuk 12 helai persalinan untuk digayakan wanita pada majlis pernikahan.
Tambah Shanell, bagi menampakkan kelainan penampilan ratu sehari pada majlis sanding dan pernikahan, maka permainan warna dan fabrik menjadi keutamaan.
"Sebut sahaja majlis malam berinai dan persandingan, pantas kita membayangkan kemeriahan suasana yang riuh rendah dengan gelak tawa ahli keluarga, saudara-mara dan teman.
"Oleh itu, bagi menyemarakkan lagi perjalanan majlis (berinai dan persandingan), maka saya tampilkan busana tradisional berwarna-warni berasaskan fabrik songket," katanya yang menggunakan kain songket Terengganu dan moden karya pengusaha lokal.
Mengulas lanjut, Shanell yang menitikberatkan aspek kemasan, perincian dan ketelitian sebagai nadi rekaan beliau menjelaskan, 28 pasang busana tradisional itu hadir dalam rekaan minimalis.
"Keistimewaan fabrik songket itu sendiri sudah memadai untuk menaikkan seri ratu sehari. Taburan bunga dan corak mewah yang diterapkan pada material (songket) ini tidak memerlukan perincian sarat.
"Selain itu, saya juga mengekalkan potongan klasik, tiada olahan berlebihan dan tidak mencolok mata supaya tidak menenggelamkan imej kemelayuan," tutur Shanell yang segak berbaju Melayu nuansa kelabu.
Dalam koleksi fesyen persandingan dan malam berinai itu, wanita bukan sahaja berpeluang memilih busana rona terang seperti hijau pucuk pisang dan biru firus, bahkan warna-warna lembut turut ditawarkan. Antaranya nuansa merah jambu, pic dan kelabu yang mana kesemua warna itu ideal digayakan kaum Hawa baik yang berhijab ataupun tidak.
Persalinan akan tampak ekstravaganza apabila disuai padan bersama sanggul lintang, sepatu dan aksesori bersesuaian.
Putih malar segar
Menyentuh mengenai koleksi busana pernikahan pula, Shanell memaklumkan beliau lebih cenderung menggunakan nuansa putih kerana bersifat malar segar dan kekal relevan sepanjang zaman.
"Hadirlah warna moden sekalipun rona ini (putih) tetap menjadi pilihan ramai wanita. Lagipun pada majlis pernikahan mereka (wanita) mengimpikan persalinan yang ringkas, feminin dan anggun.
"Jadi, dengan menggunakan fabrik sifon dan renda, saya menghasilkan busana potongan asas seperti baju kurung, kebaya Riau dan kebaya pendek," jelas beliau.
Dalam pada itu, Shanell turut memberitahu, variasi pakaian pernikahan rekaan beliau juga boleh 'dikitar semula' untuk majlis formal, keramaian, lebaran atau majlis akikah.
Dalam perkembangan berlainan koleksi Pengantin Mek Kembang Cotton (MKC) 2020 yang diperkenalkan pada baru-baru ini turut memilih warna putih sebagai rona asas.
Biarpun tanpa aksesori berlebihan penampilan ratu sehari kelihatan anggun dengan layah yang dihiasi renda.
Permukaan baju tidak dibiarkan polos, sebaliknya diserikan hiasan flora, reben dan tatahan manik.
Konsep romantis, minimalis
Menurut Pengasas MKC, Alia Najihah Alias, koleksi pengantin tahun ini mengangkat konsep romantis dan minimalis kerana menyifatkan pada majlis perkahwinan khususnya pernikahan, wanita harus tampil mengikut personaliti.
"Atas faktor tersebut kami menghasilkan pakaian pengantin yang tidak ditelan zaman. Selain baju kurung moden kami turut menyediakan seleksi dres labuh, gaun sentuhan ala kebaya dan dres potongan kipas.
"Walaupun keseluruhan baju warna putih, namun penampilan wanita pada hari bahagia tetap tampak menawan dengan perincian, veil (layah), aksesori dan solekan," ujarnya ketika ditemui Femina di Bandar Mahkota Cheras, Selangor baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan MKC turut menampilkan empat koleksi fesyen sampingan iaitu Mek Kembang Cotton x Miedy Daniel, Koleksi Hari Raya Aidilfitri 2020, Koleksi Mek Kembang Cotton x Sherry Alhadad dan Mek Kembang Cotton 2020.
Berbicara tentang material, Alia Najihah memberitahu, kain kapas tetap menjadi pilihan utama selari dengan signatur label tersebut.
Tutur beliau, fabrik kapas adalah paling ideal dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini.
Ia bukan sahaja cantik dihasilkan baju kurung, kebaya dan kebarung, malah sesuai dijadikan pakaian moden seperti skirt, blaus dan gaun.
"Lagipun, koleksi busana MKC juga tidak terhad pada sejenis fabrik kapas, sebaliknya bermacam-macam jenis kain kapas berlainan tekstur, sifat, corak dan rona digunakan," ujarnya yang meminati kain kapas kerana selesa, mudah dijaga, versatil dan elegan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!