[VIDEO] Titah Adendum: Nak lari dari mana? Selesai kes mahkamah saya jawab, kata PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya berpegang kepada prinsip undang-undang kerana perkara itu masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Beliau berkata, meskipun pembangkang terus menekan untuk mendapatkan jawapan segera, beliau telah memberi jaminan di Parlimen bahawa segala penjelasan akan diberikan selepas kes selesai.
"Saya tidak faham, maksud dia apa? Soal tidak jawab adendum saya sudah bagi tahu saya nak jawab macam mana, ini kes mahkamah.
"Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di Parlimen. Selesai kes mahkamah saya akan jawab, saya nak tengok Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) hadir atau tidak.
"Nak lari daripada mana? Kamu boleh jerit banyak mana pun. Saya tahu faktanya, tapi nak suruh singgung kedudukan Raja, saya tak boleh.
"Dalam hal ini, boleh periksa saya memang (ada) hubungi (Majlis ) Raja-Raja," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan sudah memaklumkan tindakan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memberitahu, keadaan ekonomi negara berada dalam trend positif, berdasarkan data pelaburan, pasaran saham dan bon, serta keuntungan syarikat-syarikat tempatan.
"Saya nak tanya angka ini dari mana? Pelaburan meningkat jadi cakap itu tidak bertanggungjawab sebab itu kita jawab tegas, cakap mengarut tidak berdasarkan fakta.
"Semua angka dari bon, dari pelaburan, daripada pasaran saham, dari segi keuntungan syarikat semua menunjukkan upward dan sebab menjadi perhatian beberapa syarikat antarabangsa dan pelawat-pelawat dunia itu dilihat angka-angka ini.
"Nasib baik dia (pelabur) tidak dengar Ketua Pembangkang, kalau tidak tak datang dia," sindirnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!