Nurul Izzah tinggalkan kediaman Anwar
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meninggalkan kediaman keluarganya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut Dalam, Segambut kira-kira jam 10.50 pagi tadi.
Menurut laporan MalaysiaGazette, ketika wartawan yang berkumpul di luar kediaman Anwar cuba mendekati Proton X70 untuk mendapatkan perkembangan terkini, kenderaan yang dinaiki Nurul Izzah terus memecut meninggalkan kediaman tersebut.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadualkan mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas pada jam 12 tengah hari ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Ketika ini, Anwar telah tiba di kediaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan.
Kenderaan yang dinaiki Anwar itu dilihat tiba kira-kira jam 10.45 pagi.
Turut kelihatan kenderaan yang membawa Menteri Pertahanan, Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan dan Mohamad Sabu.
Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut serta dalam pertemuan yang dipercayai bagi membincangkan situasi semasa politik negara ketika ini.
Terdahulu, kenderaan rasmi ketiga-tiga pemimpin itu memasuki Bangunan Putra Perdana sekitar jam 9 pagi kemudiannya meninggalkan bangunan itu jam 10.25 pagi.
Bagaimanapun tiada sebarang pertemuan diadakan kerana Dr Mahathir tidak memasuki pejabatnya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah kini berada di PMO
Anwar, Guan Eng susuli Wan Azizah ke PMO
Anwar, Wan Azizah dijadual menghadap Agong
Menteri Kabinet tinggalkan PMO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!