Rakyat bosan, tidak tenteram situasi politik mutakhir
SHAH ALAM - Perkembangan semasa negara membawa kepada naratif rakyat bosan dan tidak tenteram dengan situasi politik mutakhir ini, demikian reaksi Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli.
Beliau yang mengikuti perkembangan laporan media dan kenyataan dikeluarkan penganalisis politik sejak semalam mendakwa apa yang berlaku membawa kepada naratif kebimbangan rakyat terhadap politik.
“Naratif apakah yang rakyat perlu tahu? Dari semalam saya mengikuti naratif media masa dan penganalisis politik seolah-olah membawa kepada satu naratif ‘kebosanan rakyat terhadap politik'.
“Mereka membawa kebimbangan itu namun tiada penganalisis politik yang membincangkan punca situasi politik ini,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Hanafi mendakwa, membawa fakta apa yang telah berlaku lebih tepat berbanding membawa kebimbangan yang belum berlaku.
Katanya, sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH), rakyat telah menghantar referendum dalam lima pilihan raya kecil (PRK) secara jelas menolak PH.
“Perkembangan isu berkaitan dengan kedaulatan undang-undang dan bagaimana kepentingan dan hak Islam, Melayu dan raja-raja mula disentuh. Janji-janji pilihan raya kepada rakyat tidak dihiraukan.
“PM tepi menjadi isu politik dalam dan terbuka, pergaduhan pimpinan politik dalam kerajaan sepanjang dua tahun ini tiada kesudahan. Pimpinan DAP dan PH juga bebas dari pendakwaan atas pelbagai kesalahan.Tenteramkah rakyat dengan suasana ini?” katanya.
Beliau berkata, ketidaktentuan perjalanan pentadbiran negara yang sentiasa berantakan memerlukan kepada satu penyelesaian demi kepentingan agama, rakyat dan negara.
“Jika di situ bermula perbincangan nescaya kita akan lihat pertemuan bersejarah di antara beberapa pimpinan parti kerajaan dan bukan kerajaan ini adalah satu usaha untuk menyelamatkan negara dari kerakusan politikus cauvinis dan liberalis.
“Inilah yang sedang berlaku dan inilah naratifnya, negara perlu diselamatkan demi Islam dan negara tercinta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!