Hutan Bandar di Subang Jaya bakal jadi tumpuan

Lima Exco Selangor diberi taklimat oleh wakil perunding pembangunan Taman Rekreasi Hutan Bandar MPSJ.
Lima Exco Selangor diberi taklimat oleh wakil perunding pembangunan Taman Rekreasi Hutan Bandar MPSJ.
A
A
A

SUBANG JAYA - Taman Rekreasi Hutan Bandar yang dibangunkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bukan sekadar pembangunan hutan dalam bandar, malah sebagai kawasan rekreasi yang menyediakan fasiliti komprehensif bagi kegunaan komuniti pelbagai peringkat umur.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pembangunan taman rekreasi awam berkenaan dirangka dengan konsep hutan bandar bagi mewujudkan persekitaran semula jadi selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012–2030 dan RTSJ 2035, iaitu perancangan dan pembangunan mapan dan mesra alam, sebagai salah satu inisiatif ke arah Perbandaran Vibrant.

“Projek ini adalah projek Hutan Bandar pertama di kawasan Subang Jaya yang dibangunkan menerusi prinsip pemuliharaan kawasan hutan belukar sedia ada di tapak seluas 7.86 ekar. Dengan kos RM2.6 juta, ia mula dibangunkan penghujung 2015 dan telah siap sepenuhnya pada April 2018 lalu.

“Hutan bandar ini juga dibangunkan sesuai sebagai taman rekreasi awam untuk kegiatan riadah keluarga dan masyarakat terutama warga Subang Jaya,” katanya ketika menerima kunjungan lima Exco kerajaan negeri yang melakukan lawatan kerja tapak ke Taman Rekreasi Hutan Bandar MPSJ di USJ 3C, Jumaat lalu.

Lima Exco terbabit ialah Datuk Abdul Rashid Asari, V Ganabatirau, Rodziah Ismail, Dr Siti Mariah Mahmud dan Haniza Mohamed Talha yang meninjau perkembangan pembangunan pusat rekreasi yang dibangunkan MPSJ itu.

Dalam pada itu, aktiviti Simbolik Upacara Penanaman Pokok (Pokok Dammar Minyak) disempurnakan oleh kesemua Exco yang hadir dalam lawatan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dan Adun Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Noraini berkata, selain itu, terdapat lima pecahan utama khusus di sini iaitu untuk tujuan penanaman pokok dan pendidikan iaitu Laman Terapi, Laman Ilmu, Laman Herba dan Laman Permainan Kanak-Kanak.

“Secara keseluruhannya, Taman Rekreasi Hutan Bandar MPSJ ini dapat dijadikan sebagai ‘Intergrated Playground Centre’ kerana dapat menyediakan kegunaan yang komprehensif untuk komuniti dan pelbagai peringkat umur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!