Warga emas rugi RM250,000 diperdaya 'pegawai Bukit Aman'
KEPALA BATAS - Seorang warga emas kerugian RM255,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam semalam.
Suri rumah berusia 76 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis Kuala Lumpur dan memberitahu kononnya dia terlibat kes pengubahan wang haram.
Mangsa menafikan tetapi panggilan berkenaan disambungkan kepada 'pegawai polis' Bukit Aman yang kemudiannya memaklumkan dia akan ditangkap dan perlu memindahkan wang dalam simpanannya bagi tujuan siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bimbang ditahan warga emas itu melakukan 11 transaksi wang berjumlah RM255,000 ke sembilan akaun yang diberikan pegawai polis berkenaan.
"Mangsa menyedari ditipu selepas pihak bank curiga dengan perbuatan mangsa yang membuat transaksi deposit dalam amaun yang besar dan selepas disoal pihak bank mendapati pengadu ditipu sindiket berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Noorzainy berkata, terkejut dengan maklumat berkenaan mangsa terus membuat laporan polis.
Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket.
"Jangan mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!