Dr Mahathir tiba di Istana Negara
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kenderaan dinaiki Tun Dr Mahathir Mohamad memasuki Istana Negara melalui pintu utama pada jam 4.40 petang tadi.
Dr Mahathir akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung situasi politik semasa sejurus beliau meletakkan jawatan sebentar tadi.
Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 2.40 petang melalui Pintu 2 Istana Negara selama hampir 45 minit.
Difahamkan, semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas akan ke Istana Negara pada jam 5 petang ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui media di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa, UMNO dan Pas sudah memiliki majoriti mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ya kita ada jumlah yang cukup iaitu 129 (ahli Parlimen). Petang ini kami akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya.
Beliau juga mengesahkan pertemuan itu akan turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu beberapa pemimpin UMNO dan Pas dipercayai sudah berada di Menara Dato Onn bagi menantikan 'isyarat' tindakan seterusnya daripada pemimpin atasan mereka.
Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab menyampaikan perkembangan kepada pemimpin tersebut setelah selesai pertemuan berlangsung di Istana Negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar puas hati pertemuan dengan Dr Mahathir
Anwar Ibrahim tiba di Ibu Pejabat PKR
Anwar, Guan Eng susuli Wan Azizah ke PMO
Anwar, Wan Azizah dijadual menghadap Agong
Menteri Kabinet tinggalkan PMO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!