Profesor cuba fikir jauh!

A
A
A

Pelbagai hujah diberi oleh sebilangan para profesor tentang mengapa PPSMI tidak perlu diteruskan. Para profesor ini mendapati bahawa pelajar tidak boleh menguasai bahasa Inggeris mereka melalui pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bahkan majoriti pelajar tidak mampu menguasai Sains dan Matematik kecuali melalui bahasa ibunda mereka.

Hujah para profesor itu ada kebenarannya dari segi tentang masalah PPSMI. Penulis sendiri tidak sokong PPSMI. Memang benar bahasa Inggeris tidak mampu dikuasai melalui PPSMI tetapi isunya di sini bukan sekadar masalah PPSMI. Profesor perlu fikir lebih jauh dan jangan bersifat defensif dan sekadar reaksi kepada isu mikro.

Cuba fikir dalam kerangka yang lebih luas. Isu kelemahan bahasa Inggeris bukan isu yang baru timbul. Ia adalah isu yang melanda sistem pendidikan kita sejak 1980-an! Profesor telah mengambil jalan mudah mengkritik PPSMI dan mengemukakan (DLP) Program Dwibahasa sebagai alternatif untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris. Program DLP masih baharu. Tiada bukti kukuh bahawa ia akan berjaya.

Islam mengajar umatnya agar ikat dulu unta, kemudian barulah bertawakal kepada ALLAH SWT. Profesor yang hebat akan mengajar bagaimana cara yang betul mengikat unta dengan kuat.Kritik

Masalahnya ramai profesor kita hanya lantang mengkritik cara orang lain mengikat unta tetapi dia sendiri selama ini gagal mengikat unta dengan betul pun! Ramai profesor kita memang cepat kritik cadangan PPSMI, tetapi adakah mereka benar-benar tahu cara bagaimana memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris?

Bila profesor mengemukakan alternatif program DLP, itu memberi isyarat bahawa profesor kita sebenarnya tidak tahu apa yang sedang berlaku di grassroot masyarakat. Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan PPSMI kerana beliau nampak masalah grassroot yang parah dan tidak mungkin dapat diselesaikan oleh hanya sekadar ‘program’.

Kita memang tidak setuju dengan PPSMI, tetapi cuba renung mengapa Tun M cadangkan PPSMI.

Tun M nampak bahawa bahasa adalah budaya. Ia bukan sekadar satu alat. Pelajar hanya akan bersungguh-sungguh belajar satu bahasa jika bahasa menjadi budaya. Isunya sekarang ialah bagaimana membudayakan bahasa Inggeris? Bagi Tun M, caranya ialah melalui PPSMI.

Artikel Berkaitan:

Bila profesor tidak setuju dengan PPSMI, apa alternatif caranya untuk membudayakan bahasa Inggeris?

Seorang profesor telah mempersoalkan mengapa begitu bermegah dengan Inggeris? Katanya, UKM telah membuktikan bahawa ia berjaya melahirkan graduan-graduan dalam pelbagai bidang sains seperti perubatan dan kejuruteraan walaupun bahasa pengantar UKM ialah bahasa Melayu.

Komen seperti itu sebenarnya menimbulkan keraguan terhadap niat sebenar penentangan para profesor kepada PPSMI. Benarkah para profesor ini serius membudayakan bahasa Inggeris sedangkan mereka rasa bahasa Inggeris menggugat kedudukan bahasa Melayu? Psikologi itu pun sudah cukup untuk mematahkan semangat majoriti pelajar untuk belajar bahasa Inggeris.

Timbul juga persoalan sejauh manakah pencapaian UKM relevan dalam isu membudayakan Inggeris? Mengapa perlu jadikan UKM sebagai kayu ukur prestasi pencapaian? Ya, ia berjaya lahirkan ramai graduan Sains tetapi adakah graduan-graduan ini berjaya menghasilkan jenama telefon bimbit yang tersendiri?

Cuba bandingkan pencapaian universiti-universiti di Barat dan Korea dan uji kualiti graduan UKM! Memang mudah untuk syok sendiri dan meniup semangat patriotik tetapi arus globalisasi mewajibkan kita untuk bersaing dengan universiti Barat, bukan sesama universiti-universiti di kampung sendiri!

Status profesor bukan sekadar bintang akademik. Tetapi ia adalah juga Mahdi ilmu dan pemikiran kritis bagi rakyat. Fikirlah jauh, wahai profesor.

*Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis UIAM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!