Mata wang kripto masih dalam pertimbangan

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan mata wang kripto, mata wang digital, sama ada ia sah atau tidak untuk dilaksanakan di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ia belum jelas kerana masih dalam pertimbangan.

“Ada orang tanya saya sama ada ia sah atau tidak... sama ada sah atau tidak sah... itu jawapannya. Ia masih dalam keadaan yang tidak jelas.

“Memang saya terbabit dengan pelancaran Harapan Coin, tapi malangnya saya bukan Menteri Kewangan, tetapi Menteri Wilayah Persekutuan, maka ia bukan di bawah bidang kuasa saya... tak bolehlah saya nak tekan sangat (perkara ini),” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Minum Petang dan Program Amal Penyerahan Bantuan Sumbangan Persekolahan Fasa Kelima (2019) anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia), di sini, hari ini.

Khalid mengulas kejayaan penganjur bersama program minum petang berkenaan, Blockchain.My kerana berani memperkenalkan teknologi baru itu.

Khalid pernah mencadangkan mata wang kripto, Harapan Coin, kepada Bank Negara Malaysia dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk transaksi kerajaan.

Beliau mencadangkan penggunaan mata wang digital itu kerana ia adalah teknologi baru.

Dalam ucapan sama, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut berkata, kerajaan menggalakkan dan sentiasa menyokong pertubuhan bukan kerajaan menjalankan tugas membantu mendekatkan jurang ketidaksamarataan di antara masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Program yang memasuki tahun kelima itu menyumbangkan kelengkapan sekolah berupa beg, kasut dan stokin, alat tulis, hamper serta wang tunai yang keseluruhan berjumlah RM200 setiap seorang.

Penerima adalah 100 murid dari kalangan anak yatim dan asnaf di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!