Kesatuan Eropah kecam Zionis

Jentolak Israel merobohkan sebuah rumah milik penduduk Palestin di Suh Baher, Baitulmaqdis Timur yang didakwa dibina tanpa permit.
Jentolak Israel merobohkan sebuah rumah milik penduduk Palestin di Suh Baher, Baitulmaqdis Timur yang didakwa dibina tanpa permit.
A
A
A

BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) mengkritik cadangan Israel untuk membina ribuan unit rumah di Baitulmaqdis Timur dan menyifatkan langkah itu sebagai mengancam prospek penyelesaian dua negara.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu lalu mengumumkan, sebanyak 3,000 unit rumah bakal dibina untuk penduduk Yahudi di kawasan kejiranan Givat Hamatos.

Sebanyak 2,200 unit rumah lagi bakal dibina di kejiranan Har Homa.

Wakil Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar Negeri Dan Keselamatan, Josep Borrell Fontelles dalam satu kenyataan berkata, langkah sedemikian akan merubah sempadan geografi selain memutuskan kesinambungan wilayah antara Baitulmaqdis dan Baitulaham.

Ia juga secara langsung mengasingkan komuniti Palestin yang tinggal di kawasan tersebut.

“EU tidak akan menyokong sebarang perubahan pada perjanjian sempadan yang dibuat sebelum 1967 dan meminta Israel supaya memikirkan semula cadangan mereka,’ katanya.

Sebelum ini, Perancis turut menyatakan kritikan terhadap Israel dan menegaskan semua projek pembangunan di wilayah yang diduduki melanggar undang-undang antarabangsa.

Liga Arab turut menyatakan bantahan dan menyifatkan langkah Israel itu sebagai satu lagi bentuk penindasan ke atas penduduk Palestin.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, hampir 650,000 pendatang Yahudi tinggal di lebih 100 penempatan haram di wilayah Tebing Barat yang diduduki termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk paling terbaharu pada 2016, menetapkan penempatan haram Israel sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa berikutan ia melanggar Konvensyen Geneva Keempat yang melarang kuasa penjajah memindahkan populasi penduduknya ke kawasan yang diduduki. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!