Percaturan politik negara sukar diramal

No Image Caption
A
A
A

PLOT politik tanah air kita dilihat semakin hari semakin menarik selepas pengumuman demi pengumuman kita baca dan dengar semalam berhubung pentadbiran Malaysia.

Dari pagi hingga ke petang rakyat menerima pelbagai kejutan bermula pengumuman peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kira-kira jam 1 tengah hari dan seterusnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar Pakatan Harapan.

Pengesahan Dr Mahathir melepaskan posisinya sebagai Pengerusi Bersatu pula diketahui sebelum Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat keanggotaan parti PKR.

Penulis berasa seperti menonton drama Korea apabila melihat landskap politik negara yang sentiasa berubah-ubah itu sukar diramal tidak seperti drama Melayu yang biasanya boleh dijangka pengakhiran cerita.

Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan situasi dicipta pemimpin menyebabkan negara tunggang-langgang dan memberi kesan kepada saham tempatan apabila indeks petunjuk pasaran turun ke paras terendah sejak 2011.

Belum lagi dilihat pergolakan kaum yang tercetus disebabkan orang politik sekali gus mengancam keselamatan rakyat sehingga membimbangkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kebimbangan itu jelas tergambar dalam doanya yang dimuat naik di akaun media sosial Facebook, Twitter dan Instagram selain aplikasi Telegram melalui saluran Sahabat Mufti WP petang kelmarin.

Doa beliau: “Doaku semoga ALLAH SWT kurniakan kepada Malaysia sentiasa dalam aman, begitu juga pemimpin diberi taufiq, hidayah dan sabar. Ya ALLAH kurniakan kepada kami rasa cintakan negara, kukuhkanlah perpaduan kami.”

Artikel Berkaitan:

Sesungguhnya, pemimpin terdahulu atau sekarang atau akan datang ialah pemimpin yang dipilih rakyat dan seorang pemimpin yang beriman kepada ALLAH serta Rasul tidak sesekali mengkhianati tanggungjawab diamanahkan kepadanya.

Seperti hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim iaitu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.”

Jelas sekali ALLAH sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab yang dipikul pemimpin dan pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan untuk diri dan keluarganya.

Bahkan, pemimpin iaitu kita semua perlu menjadi manusia bertanggungjawab ke atas perkara yang dilakukan dan keadaan itu menunjukkan hubung kait yang sangat jelas antara pemimpin dan rakyat.

Seperti kata pakar motivasi yang juga Pakar Perunding Kesihatan Mata, Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad, jika mahukan pemimpin yang baik kita (individu) perlulah menjadi baik terlebih dahulu.

“Kerajaan di langit (ALLAH) dah tahu siapakah kerajaan Malaysia, jadi jangan sibuk pasal kerajaan dan kita doa saja. Kalau kita nak dapat pemimpin yang baik, kita mesti jadi orang yang baik.

“Sebab ALLAH akan beri kita pemimpin yang sama dengan kita, Jadi, sibuk-sibukkanlah perbaiki diri, menangani diri, didik anak jadi baik, betulkan circle of influence.

“Hakikatnya kita warga akhirat bukan warga dunia, jadi jangan dilupakan akhirat adalah tujuan dan maksud dalam kehidupan kita,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook pagi semalam.

Kita memang marah dengan situasi yang melanda negara, namun apabila kita baca doa karangan mufti dan dengar pesanan Dr Muhaya, hati jadi lembut dan mengingatkan kita setiap apa yang berlaku adalah dengan izin ALLAH.

Jika kita fikir rakyat berkuasa untuk memilih pemimpin, beringatlah bahawa kuasa itu datangnya jua daripada kuasa yang Esa dan seharusnya kita serahkan seluruh kebergantungan kepadaNYA.

Sebagai hamba yang beriman kepadaNYA, amatlah penting bagi kita sentiasa bersedia untuk diuji dan hendaklah selalu bersyukur. Sesungguhnya setiap yang berlaku dalam negara adalah ujian untuk mendekatkan kita kepada ALLAH.

Siapapun yang mentadbir negara, siapapun yang mengetuai barisan pemimpin, semoga Malaysia stabil, aman dan harmoni.

Rakyat sayangkan negara dan mahukan negara dipimpin orang yang sayangkan negara.

*Siti Shahrosamirah Shaharman ialah Web Master portal Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!