Netizen kecam pengawal keselamatan pukul OKU
KUALA PERLIS - Netizen mengecam tindakan seorang pengawal keselamatan memukul seorang lelaki kurang upaya di sebuah terminal feri, di sini.
Video tersebut berdurasi 36 saat yang tular di Facebook We Are Malaysian itu memaparkan lelaki kurang upaya tersebut cuba menahan diri daripada dipukul.
Tanpa mengetahui punca pergaduhan tersebut, lelaki itu ditampar beberapa kali di bahagian muka dan ditendang oleh pengawal keselamatan itu hingga dia melarikan diri.
Menerusi ruang komen, netizen menyifatkan tindakan pengawal keselamatan memukul orang kurang upaya (OKU) itu seolah-olah tiada perikemanusiaan.
"Saya tak tahu apa kesalahan pakcik kurang upaya itu tetapi tolong hormat-menghormati dan tidak buli di hadapan ramai. Ia memalukan," kata Apple Ian.
Bagaimanapun, segelintir netizen turut mempertahankan tindakan pengawal keselamatan dengan mendakwa OKU itu sudah beberapa kali ditangkap kerana melakukan perbuatan tidak bermoral di kawasan tersebut.
"Wahai saudara FB, tolong periksa betul-betul sebelum menuduh 'pak guard' ni sebab orang tua ni (lelaki OKU) dah banyak kali ditangkap buat benda tak baik.
"Oleh itu, periksa baik-baik hal ni sebelum membuat tuduhan. Kita tak tahu siapa yang benar-benar bersalah lagi," tulis Matthew John.
Ulasan Matthew John itu bagaimanapun dikritik pengguna alam maya lain yang turut memberitahu pengawal keselamatan itu tiada hak memukul sebaliknya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, pada ruang komen Facebook tersebut, satu klip video berdurasi 35 saat memaparkan pengawal keselamatan tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
"Mohon maaf seluruh Malaysia, ampun dan maaf. Saya pun dah selesaikan semua, saya menyesal atas apa berlaku. Lepas ini saya takkan buat dah, saya pun akan berhenti menjadi pengawal keselamatan," katanya.
Video dimuat naik oleh Muhammad Ariffin Kussasi menarik perhatian netizen yang menyifatkan tindakan pengawal keselamatan itu wajar dan membuat tindakan yang tepat.
Setakat jam 2 petang ini, video pergaduhan itu dimuat naik dan telah ditonton seramai 65,000 tontonan dengan lebih 1,400 perkongsian daripada pemilik akaun Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!