Sophia Liana tidak akan tinggalkan Budak Ngam
SETELAH lebih lapan minggu bekerja keras memberikan yang terbaik dalam program Dansa Dan Sing (DDS), Sophia Liana akhirnya mengakhiri perjuangan itu dengan kenangan manis apabila dinobatkan sebagai juara pertama program itu pada Ahad lalu.
Sophia yang diiringi Budak Ngam selaku kru tarian atau troopers mahu terus berkarya untuk membuktikan bakat versatil mereka dalam industri.
“Saya memulakan kerjaya seni dari bawah iaitu sebagai seorang penari latar. Jadi saya tahu bagaimana susahnya nak naik, apatah lagi kehadiran penari selalunya tidak begitu dihargai berbanding penyanyi.
“Jadi selepas menjuarai DDS ini, saya mahu terus ketengahkan bakat Budak Ngam kepada industri dan bawa mereka ke level yang lebih tinggi agar orang tahu siapa mereka.
“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya juga akan tampil dengan single baharu bersama mereka pada April ini,” ujar Sophia.
Bagaimanapun, tegas Sophia, dalam masa yang sama dia masih tetap bersama DeFam seperti biasa yang juga mempunyai pelbagai perancangan baharu.
“Komitmen bersama DeFam akan berjalan seperti biasa dan projek bersama Budak Ngam ini tidak akan menganggu aktiviti sedia ada saya bersama kumpulan.
“Lagi pun kami semua saling mengenali dan tidak ada masalah untuk kami bergerak sama-sama.
“Sebelum ini pun, saya dan anggota DeFam ada terlibat dengan projek solo masing-masing dan kami semua OK,” tegasnya.
Mengulas tentang perancangannya terhadap hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 yang dimenangi, kata Sophia, dia berhasrat untuk membawa ibunya mengerjakan umrah.
“Saya nak bawa ibu saya pergi umrah. Itu benda pertama yang saya akan buat dengan duit kemenangan itu kerana memang itulah niat awal saya jika begelar juara,” akuinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!