Agong kurnia Surat Cara Pelantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim di Istana Negara di sini.
Pelantikan Abang Iskandar, 61, yang berkuat kuasa hari ini menggantikan Tan Sri David Wong Dak Wah yang bersara pada 20 Februari.
Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Abang Iskandar sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah memegang beberapa jawatan lain seperti Hakim Mahkamah Rayuan selama lima tahun sejak 2013.
Beliau yang merupakan anak kelahiran Sibu, Sarawak memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada 1983 sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Miri, Sarawak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!