Kastam Perak rampas rokok, arak bernilai RM2 juta

Mohamad (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras seludup yang dirampas dalam serbuan JKDM di Sitiawan dan Cheras baru-baru ini.
Mohamad (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras seludup yang dirampas dalam serbuan JKDM di Sitiawan dan Cheras baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas dua juta batang rokok dan minuman keras seludup dengan nilai cukai keseluruhan RM2.125 juta dalam serbuan di Sitiawan dan Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah JKDM Perak, Dr Mohamad Saprin berkata, risikan selama seminggu ini mendapati sindiket itu menjadikan kedua-dua rumah di kawasan berkenaan sebagai lokasi menyimpan barang seludup terbabit.

"Serbuan pertama melibatkan pasukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan yang merampas rokok terbabit yang nilai cukai dan harga RM2 juta di sebuah rumah di Sitiawan.

"Bagaimanapun, tiada individu ditahan dalam serbuan itu," katanya pada sidang akhbar di JKDM Perak di sini hari ini.

Menurutnya, serbuan kedua melibatkan pasukan dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Lumut di sebuah rumah di Cheras.

"Pasukan menemui 6,888 tin dan 1,740 botol minuman keras pelbagai jenama dengan nilai cukai dan harga sekitar RM125,000.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah lori berhampiran rumah terbabit yang dikesan turut menyembunyikan minuman keras tersebut. Kesemua barangan termasuk kenderaan itu dirampas," katanya.

Mohamad berkata, siasatan mendapati rokok terbabit diseludup masuk dari negara Indonesia manakala, minuman keras pula dari India dan Belgium.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya rokok seludup terbabit untuk pasaran Perak dan negeri di sebelah utara.

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dalang serta pemilik kenderaan dan kedua-dua rumah tersebut," katanya.

Katanya, kedua-dua kes di siasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!