Lexus UX 200 tembusi pasaran tempatan
SETELAH membuat penampilan sulung pada November 2018 di acara Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 18), akhirnya Lexus UX 200 kini rasmi dibuka untuk tempahan pasaran tempatan.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover kompak itu dibina berasaskan platform Global Architecture-C (GA-C) yang mana ditawarkan dalam tiga varian iaitu Urban, Luxury dan F-Sport. Setiap satunya membawakan ciri dan elemen yang tersendiri.
UX 200 dikuasakan oleh enjin petrol Dynamic Force 2.0-liter empat silinder digabungkan bersama kotak gear Direct-Shift CVT 10 kelajuan yang mampu menghasilkan 169 kuasa kuda (hp) dengan 205 meter Newton (Nm) tork. Selain itu, ia turut hadir dengan ciri-ciri seperti tailgate automatik, pengecas wayarles, cermin panorama dan pelbagai lagi ciri tambahan. Turut disertakan adalah sistem keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+).
Jentera itu juga turut dilengkapi dengan sistem audio Lexus Premium bersama enam pembesar suara, skrin infotainmen tujuh inci, interface Remote Touch, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Kulit Nuluxe, kemasan balutan hitam bagi tempat duduk hadapan larasan kuasa menambah gaya.
Seperti model lain yang diimport oleh Lexus Malaysia, UX 200 didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Sokongan selepas jualan pula boleh didapati di kesemua tujuh pusat servis Lexus di seluruh Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!