30 pasukan bola sepak, peniaga rugi penganjur karnival lesap

IPOH - Sekurang-kurangnya 30 pasukan bola sepak termasuk satu pasukan daripada Medan, Indonesia diperdaya dengan penganjuran pertandingan bola sepak yang tidak wujud di Taman DR Seenivasagam di sini pada Sabtu.
Difahamkan penganjuran program selama dua hari pada 22 dan 23 Februari itu turut melibatkan beberapa peniaga yang turut diperdaya penganjur.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada seorang wanita yang mendakwa ditipu seorang lelaki berkaitan penganjuran Karnival Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah melibatkan pasukan bawah 14 dan 16 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati wanita terbabit mewakili pasukan Highlander FC bawah 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, di sini telah membuat bayaran penyertaan RM400 ke dalam dua akaun berbeza.

"Ketika hari kejadian lebih kurang jam lebih kurang 7 pagi apabila pengadu sampai di lokasi mendapati tiada khemah penganjuran disediakan di lokasi.
"Mangsa cuba menghubungi penganjur untuk pengesahan namun tidak berjaya dan mengesyaki telah ditipu oleh penganjur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohamad Sajidan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
Menurutnya, pihak polis juga telah menerima lima lagi laporan polis yang melibatkan penganjur yang sama.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan membuat pengesahan dari pihak-pihak yang berkaitan sebelum membuat keputusan menyertai kejohanan yang meragukan.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai beberapa pasukan serta peniaga yang didakwa ditipu penganjur kejohanan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!