Tertekan kerja-kerja pembinaan, suri rumah fail saman RM5.5 juta

Plaintif, Fairuz Atida (tengah) berbincang sesuatu dengan dua peguam caranya dari Tetuan W.A. Wan Adnan & Associates di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.
Plaintif, Fairuz Atida (tengah) berbincang sesuatu dengan dua peguam caranya dari Tetuan W.A. Wan Adnan & Associates di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tertekan dengan kerja-kerja pembinaan berhampiran sehingga mengakibatkan rumah didiami rosak teruk selain berdepan masalah debu dan bunyi bising berterusan sejak lima tahun lalu, seorang suri rumah memfailkan saman terhadap tiga syarikat termasuk sebuah agensi milik kerajaan negeri berjumlah RM5.5 juta.

Fairuz Atida Ariffin, 58, selaku plaintif memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini melalui peguam cara Tetuan W.A. Wan Adnan & Associates.

Dalam writ saman itu, plaintif menamakan sebuah agensi kerajaan negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Terengganu sebagai defendan pertama, syarikat P. Excell Management Sdn Bhd dan syarikat Dacing Sempurna Sdn Bhd selaku defendan kedua serta ketiga.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif yang juga pemilik sebuah rumah banglo setingkat di Kampung Seberang Baroh, Bukit Bayas, di sini mendakwa defendan-defendan memulakan kerja-kerja pembinaan Projek 55 unit rumah teres dua tingkat serta kerja-kerja berkaitan bersebelahan dengan kediamannya.

Plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan memulakan kerja-kerja pengubahsuaian, pembersihan, penambunan tanah dan lain-lain di lokasi pada pertengahan 2015.

Dalam masa sama, defendan ketiga didakwa membuat kerja-kerja menambun dan merata tanah di mana ia membentuk aras formasi yang lebih tinggi daripada aras lantai rumah dan arah hartanah plaintif.

Selain itu, plaintif mendakwa debu terhasil dari kerja-kerja pembinaan tersebut mengakibatkan masalah pencemaran udara.

Akibatnya, plaintif mendakwa terpaksa sentiasa menutup pintu dan tingkap rumah; terpaksa menghadkan aktiviti luar selain menjejaskan kesihatan mereka sehingga terpaksa berpindah dan menyewa rumah lain kerana kediaman sudah tidak selamat diduduki dan tidak bersih lagi.

Artikel Berkaitan:

Plaintif mendakwa sehingga kini, dia dan ahli keluarganya hidup mengalami trauma serta tekanan perasaan oleh kerana keadaan rumah yang retak teruk dan tidak selamat didiami lebih-lebih lagi kerja-kerja fasa kedua iaitu kerja pembinaan rumah telah bermula.

Justeru itu, defendan diminta membayar ganti rugi khas termasuk kos laporan perubatan; kos menyewa rumah di tempat lain; kos laporan juruukur; kos laporan juru nilai; kos laporan pakar jurutera dan kos guaman untuk tindakan ini yang mana jumlah kesemua kos dikemukakan kepada mahkamah semasa perbicaraan kelak.

Plaintif turut menuntut defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM4 juta; ganti rugi teladan sebanyak RM1 juta dan ganti rugi melampau berjumlah RM500,000.

Selain itu, defendan dituntut membayar faedah 5 peratus setahun ke atas ganti rugi tersebut dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos tindakan ini dan lain-lain relif yang mahkamah fikirkan adil dan suai manfaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!