Exco Melaka enggan komen
MELAKA TENGAH - Kehadiran Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Melaka, Datuk Ginie Lim Swee Lin di luar bilik Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan hadir menyertai Mesyuarat Pakatan Harapan negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Adly Zahari.
Sebagaimana diketahui sebelumnya, ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan penyokong kuat kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, beliau ketika ditemui media enggan memberikan sebarang komen.
Turut kelihatan bersama menyertai mesyuarat itu Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sehingga sekarang usaha pihak media untuk mendapatkan komen dua individu itu yang menyertai mesyuarat berkenaan gagal setelah Noor Affendi yang juga ADUN Telok Mas keluar tanpa melalui lif khas.
"Mesyuarat sedang berlangsung lagi, apa-apa boleh tanya CM (Ketua Menteri)," katanya.
Selepas kerajaan PH tumbang di peringkat Pusat, Melaka dijangka akan menyusul perubahan landskap itu, namun kehadiran Noor Effandi seolah-olah memperlihatkan kedudukan kerusi DUN tidak terjejas.
Sementara itu, seorang lagi wakil Bersatu tidak kelihatan pada mesyuarat berkenaan selain ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mewakili PKR turut tidak kelihatan.
PH dan Barisan Nasional (BN) negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN, manakala Bersatu mempunyai dua kerusi.
Semalam, Bersatu mengumumkan keluar daripada kerjasama PH di peringkat Persekutuan dan negeri.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di pejabat Exco turut mendapati beberapa kakitangan sedang mengemas pejabat masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!