Tujuh penumpang Diamond Princess dikuarantin di Vladivostok
VLADIVOSTOK - Tujuh warga Rusia yang juga penumpang kapal persiaran Diamond Princess dikuarantin sebaik tiba di Vladivostok, kata kerajaan wilayah Primorsky hari ini.
"Tujuh warga Rusia itu tiba di Vladivostok pada Ahad. Mereka kemudian dibawa ke hospital untuk menjalani ujian bagi mengesan Covid-19.
"Kesemua mereka masih diletakkan di bawah pemantauan doktor," lapor agensi berita Sputnik.
Menurut pihak berkuasa, mereka dikuarantin bagi mengurangkan risiko jangkitan, namun kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan memuaskan.
"Mereka akan berada di hospital selama 14 hari dan akan menjalani semua ujian makmal yang diperlukan," kata kerajaan.
Kapal persiaran Diamond Princess belayar meninggalkan pelabuhan Yokohama pada 20 Januari dan kembali semula pada 3 Februari.
Pihak berkuasa Jepun meletakkan kapal itu di bawah kuarantin selama dua minggu selepas bekas penumpang kapal itu dijangkiti Covid-19.
Fasa pertama kuarantin, terdapat 3,711 orang di atas kapal termasuk 2,666 penumpang dan 1,045 anak kapal.
Sehingga Isnin, 691 penumpang dijangkiti dengan dua kematian pertama disahkan pada minggu lalu.
Sekumpulan lapan warga Rusia termasuk tiga yang dijangkiti, dipindahkan dan dikuarantin di bandar Kazan kelmarin.
Sehingga Selasa, wabak Covid-19 menjangkiti lebih 80,000 orang di seluruh dunia dan meragut 2,699 nyawa.
Kadar pemulihan meningkat dengan 27,671 pesakit dibenarkan keluar hospital. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!