Klinik badminton gilap bakat baharu
SHAH ALAM - Seramai 10 peserta telah menyertai Klinik Asas Badminton anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) Karangkraf, baru-baru ini.
Klinik selama dua hari di gelanggang badminton Kumpulan Media Karangkraf (KMK) diadakan khas untuk anak ahli KSR yang juga kakitangan KMK.
Naib Presiden KSR Karangkraf, Mohd Hasrul Wahab berkata, program ini julung kali diadakan bagi memenuhi aktiviti dan masa lapang cuti sekolah anak-anak ahli KSR.
Menurutnya, selain itu, tujuan Klinik Asas Badminton ini adalah memberi pendedahan kepada peserta yang rata-ratanya pertama kali menerima tunjuk ajar secara formal dalam sukan badminton.
"Antara kemahiran yang mereka pelajari dari klinik ini antaranya seperti pegangan dan pukulan asas, teknik servis dan latihan 'footwork' iaitu pergerakan asas dalam gelanggang.
"Kesemua ini adalah kemahiran dan asas yang perlu ada kepada setiap pemain badminton dan diharapkan pendedahan awal ini akan memupuk minat kanak-kanak seawal usia meminati badminton.
"Badminton ini bukan dimainkan sekadar rekreasi sahaja malah ia mampu mencerdaskan minda dan fizikal kanak-kanak untuk perkembangan jangka masa panjang," katanya.
Hasrul berkata, KSR berhasrat untuk meneruskan klinik ini jika ada permintaan supaya bakat kanak-kanak dapat dicungkil dan digilap dengan latihan dan teknik yang betul.
Malah kata Hasrul, program dalaman seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan membentuk persahabatan keluarga kakitangan syarikat menerusi program bermanfaat seperti ini.
Sementara itu, program yang dikendalikan jurulatih berkelayakan ini juga mendapat kerjasama dari Michael Badminton Academy, Puchong yang memberi sokongan penuh sepanjang program ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!