Air mata Wan Azizah gugur
PUTRAJAYA - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalirkan air mata ketika menyantuni warga kerja Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.
Dr Wan Azizah hadir ke pejabat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangannya susulan pembatalan jawatannya semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu dilihat bersalaman dengan kakitangan kementerian yang diterajuinya sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
“Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Sebelum mengundur diri, saya menyantuni warga pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Khidmat dan jasa bakti mereka sepanjang saya menggalas amanah sangat saya hargai,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Video berdurasi 1 minit 54 saat itu menunjukkan Dr Wan Azizah menitiskan air mata ketika memeluk dan menenangkan kakitangan yang bersedih dengan perpisahan itu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, perkara itu adalah selaras dengan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seiring peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah pesan kepada media jaga diri kesihatan
Semua jawatan menteri Kabinet digugurkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!