Anak bekas penyanyi rock cemerlang STPM
ALOR SETAR - Anak bekas penyanyi kumpulan rock Melissa antara pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0 hari ini.
Muhammad Maqamin Amin Mohd Radzi, 20, anak kelima Allahyarham Mohd Radzi Abdul Hamid atau Ustaz Radzi yang popular dengan lagu Cinta Untuk Nabila bersyukur dengan keputusan cemerlang diperoleh hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Langkawi itu berkata, walaupun tidak dapat berkongsi kejayaan bersama arwah ayahnya, namun dia sentiasa ingat setiap pesanan bapanya itu.
"Ayah sudah tiada namun setiap pesanannya agar menjaga agama dan solat pada awal waktu saya cuba buat sebaik mungkin.
"Saya juga bangun pagi untuk solat tahajud sebelum mengulang kaji pelajaran," katanya.
Dia ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan slip STPM daripada Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin Alor Setar hari ini.
Muhammad Maqamin Amin berkata, dia yang pernah belajar di sekolah tahfiz turut menjadikan amalan membaca al-Quran sebelum Subuh sebagai rutin harian kerana waktu tersebut adalah paling sesuai untuk ulangkaji ilmu yang dipelajari sebelum ini.
Pada 23 Disember 2018, Ustaz Radzi, 55, meninggal dunia selepas rebah ketika menjayakan sebuah persembahan di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur sekitar jam 11.15 malam.
Difahamkan Mohd Radzi tiba-tiba rebah selepas beberapa saat berada di pentas untuk menyampaikan persembahan pertamanya pada jam 10.30 malam sempena program Hiburan Santai Seniman anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas vokalis Melissa, Ustaz Radzi meninggal dunia
Kejayaan sama turut dikongsi pasangan kembar dari Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin Alor Setar, Nur A'dilah A'qilah Yahaya dan Nur A'liyah A'qilah, 20, yang memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM.
Nur A'dilah berkata, selepas tamat kelas pada setiap petang mereka akan memperuntukkan masa sebanyak dua sehingga empat jam untuk belajar secara berkumpulan.
"Saya lebih arif dalam subjek ekonomi dan saya akan berkongsi dan cuba memberikan pemahaman kepada rakan-rakan lain.
"Lama-kelamaan konsep berkongsi dan memberikan pemahaman kepada di antara satu sama lain memudahkan kami untuk faham dan ingat apa yang diajarkan oleh guru di kelas," katanya.
Menurutnya, mereka akan berkongsi ilmu yang ada dan mereka yang lebih faham satu-satu subjek akan bertindak sebagai 'guru' untuk mengajar kawan-kawan yang lain pula.
Perkara tersebut diakui adiknya, Nur A'liyah yang turut berkongsi pemahaman subjek kegemarannya, Sejarah dengan rakan-rakan lain.
Nur A'liyah bercita-cita untuk menyambung pengajian di bidang perguruan, manakala kakaknya merancang untuk menyambung pengajian dalam perbankan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!