Gaza kembali tenang

Anggota Jihad Islam Palestin memeriksa tapak serangan udara Israel di Gaza City. - Foto AFP
Anggota Jihad Islam Palestin memeriksa tapak serangan udara Israel di Gaza City. - Foto AFP
A
A
A

GAZA CITY - Wilayah di sekitar Gaza hari ini kembali tenang selepas menyaksikan pertempuran hebat selama dua hari antara Jihad Islam Palestin dan Israel.

Pemimpin kanan Jihad Islam, Ihsan Ataya dalam satu kenyataan berkata, gencatan senjata antara dua pihak itu berkuat kuasa pada jam 11.30 malam (waktu tempatan) semalam dengan Mesir menjadi pengantara.

Jurucakap tentera Israel mengesahkan tiada bedilan roket dilancarkan dari Genting Gaza dari malam hingga pagi.

Difahamkan, situasi menjadi tegang selepas tentera Israel menembak mati anggota Jihad Islam, Mohammed al-Naim yang didakwa menanam peranti letupan di pagar Israel dekat timur bandar Khan Younis.

Ketegangan semakin memuncak apabila sebuah video menunjukkan jentolak Israel cuba menyodok mayat Mohammed tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan rakyat Palestin.

Susulan itu, keluarga mangsa turut mendesak Tel Aviv memulangkan mayat Mohammed untuk dikebumikan.

"Anak saya tiada musuh. Dia ialah segala-galanya bagi saya, Dia seorang anak yang baik dan kuat agama.

"Apa yang saya mahukan sekarang adalah untuk membawa pulang anak saya. Saya ada hak untuk melihatnya buat kali terakhir, mengucapkan selamat tinggal dan mengebumikan dia dekat dengan saya supaya isteri dan ahli keluarga yang lain boleh melawatnya," luah ibunya, Mirvat. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!