Tok Gajah masih cari formula sesuai
PAHANG masih lagi mencari formula terbaik bagi mempersiapkan kesebelasan utamanya dalam aksi Liga Super musim ini.
Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, pihaknya berdepan situasi mencabar untuk mempersiapkan skuad Tok Gajah berikutan ramai pemain lama dan berpengalaman tidak kekal beraksi bersama pasukan itu menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada muka baharu.
"Saya tidak berani untuk bercakap tentang sasaran tahun ini, cuma menggalas nama pasukan Pahang, kita sudah pasti mahu yang terbaik. Saya sendiri masih mencari kesebelasan utama Pahang.
Apa yang kita mahu ialah keserasian antara pemain tempatan dan import selain perlu percaya kepada pengalaman pemain sedia ada, dibantu dengan muka baharu untuk melakukan yang terbaik," katanya.
Dollah berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pasukan dan Aplikasi Mudah Alih Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) di Kuantan semalam.
Untuk rekod, skuad Tok Gajah muncul naib juara Liga Super 2019 di belakang kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), selepas mengutip 43 mata. JDT mengumpul 53 mata.
Menjelang aksi pertama liga bertemu musuh tradisi Selangor pada perlawanan di Stadium Darul Makmur pada Sabtu ini, Dollah berkata dua tonggak utamanya, Mohamadou Sumareh dan Harold Mark Goulon masih bergelut dengan masalah kecederaan.
"Kecederaan menyebabkan Sumareh tidak dapat diturunkan dalam lima atau enam perlawanan persahabatan sebelum ini, manakala Goulon sudah 20 hari tidak dapat beraksi kerana baru sembuh.
Prestasi pemain import baharu, Ivan Carlos Franca Coelho pula kelihatan goyah pada awalnya tetapi kini semakin baik dan berharap aksinya lebih baik apabila beliau mula beraksi di peringkat tertinggi," katanya.
Pada musim ini, PBNP mendapat tajaan jersi daripada Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd dan akan tampil menggunakan jersi utama jenama Umbro berwarna kuning, hijau untuk jersi kedua, dan merah jambu sebagai jersi ketiga.
Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, Pahang merupakan pasukan pertama menggunakan aplikasi mudah alih PahangFA yang membolehkan penyokong membeli tiket secara dalam talian yang akan bermula pada perlawanan pertama musim ini.
"Penyokong tidak lagi perlu beratur dan difahamkan tiada lagi jualan tiket di kaunter apabila aplikasi ini digunakan sepenuhnya. Untuk musim ini, seorang penyokong juga dihadkan untuk membeli empat keping tiket sahaja," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!