Sepak terajang dunia politik amat rakus
GELORA politik Malaysia bagaikan tidak tertahan-tahan lagi. Bagaikan tsunami tanpa amaran, ia membadai dengan ganas sehingga merobohkan sebuah kerajaan yang dibina tidak sampai dua tahun.
Merak Jalanan sendiri terkejut tidak sampai 24 jam selepas semua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat, membuat sidang akhbar dan bersalam-salam di depan media, esoknya terus berantakan.
Adakah itu semua wayang atau silat politik semata-mata? Benarlah kata orang, dalam politik musuh tidak selamanya menjadi lawan dan kawan tidak selamanya juga menjadi sahabat.
Kalau kita selak sejarah politik Malaysia, ternyata semua itu benar.
Lihat sahaja bagaimana, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melupakan permusuhan sejak tahun 1998 demi menenggelamkan kapal Barisan Nasional pada PRU14.
Jangan lupa juga, bagaimana perikatan Mahathir dan Anwar turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah menjadi musuh ketat mereka.Penangan PRU14 menyaksikan UMNO dan Pas turut melupakan permusuhan. Mereka mula menjadi kawan sehingga menumbangkan PH menerusi beberapa pilihan raya kecil.
Namun apa yang berlaku sejak Ahad lalu paling bersejarah. Sebuah kerajaan tumbang sekelip mata apabila kawan tiba-tiba bertukar lawan dan begitulah juga sebaliknya.
Ternyata sepak terajang dunia politik sangat rakus. Dalam politik, lunak bicara dan senyuman seorang sahabat di depan mata ternyata tidak sama dengan di belakang.
Seperti bermain catur, kalau tersilap langkah mungkin terkena checkmate. Memetik kata-kata seorang ahli politik veteran yang ditemui Merak Jalanan baru-baru ini: “Dalam politik yang tidak tahannya main belakang. Orang cakap baik di depan kita, tetapi di belakang tikam. Hati kena kuat dan tahan.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!