Kerajaan perpaduan tidak baik untuk negara
SHAH ALAM - Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berpendapat kemelut politik yang berlaku sekarang tidak baik untuk negara.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan semasa, beliau khuatir sekiranya pihak berkenaan mewujudkan kerajaan perpaduan yang bermaksud tiada kerajaan dan tiada pembangkang.
“Dalam sistem demokratik, yang paling mustahak adalah mewujudkan dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang. Saya khuatir pada masa sekarang, untuk kepentingan diri, saya amat khuatir mereka akan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.
“Dalam kerajaan perpaduan sebegitu, sistem semak dan imbang tidak akan wujud dalam negara kita. Ini amat membimbangkan saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Vigneswaran menganggap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan wajar dan bijaksana dalam melantik Perdana Menteri Interim meskipun fasal tersebut tiada dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah sebuah pelantikan interim dan tidak boleh berlanjutan. Seseorang yang mempunyai sokongan terbanyak dalam Dewan Rakyat perlu membawa perkara itu di hadapan Agong supaya baginda boleh membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri.
“Buat masa ini, Perdana Menteri Interim ini tidak sesuai untuk membuat mana-mana lantikan kerana ia akan membuatkan keputusan tersebut boleh dicabar di mahkamah kelak,” katanya.
Dalam pada itu, menyokong pandangan disuarakan beberapa individu sebelum ini, Vigneswaran turut melahirkan kekhuatiran beliau yang mungkin situasi ketidaktentuan itu hanya dapat diselesaikan melalui pilihan raya umum (PRU).
“Sebab kita dapat gambaran bahawa Bersih akan membuat demonstrasi. Kalau perkara lain berlaku, kemungkinan akan ada orang lain yang membuat perhimpunan dan ini akan menjejaskan silaturahim kaum.
"Bahkan ia beri gambaran bahawa sistem demokrasi di Malaysia ini runtuh. Nasib baik kita ada institusi raja-raja Melayu.
“Pada masa kini, baru semua orang faham betapa mustahaknya kita ada institusi tersebut untuk memastikan negara kita boleh ditadbir walaupun kita ada krisis sebegini,” katanya.
Sementara itu jelasnya, PH runtuh bukan kerana orang lain tetapi kerana pakatan itu sendiri yang tidak sefahaman, bukan kerana UMNO atau Pas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!